Allah tidak menjadikan sifat zalim sebagai sifatnya malahan mengharamkannya dan mengharamkan kepada umat manusia kerana sifat zalim ini adalah suatu sikap yang terkutuk.
Dari itu Allah memerintahkan agar keadilan ditegakkan di muka bumi ini untuk keharmonian, kesejahteraan dan keamanan. Islam telah mengatur antara syarat-syarat untuk menjadi pemerintah, ketua, hakim, kadhi dan sebagainya sebagai orang yang berkuasa supaya mereka mestilah bersikap adil.
Adil kepada diri sendiri, rakyat, masyarakat, sesama manusia, kawan-kawan, alam persekitaran, haiwan dan sebagainya. Sejarah telah membuktikan pemerintah yang mengamalkan pemerintahan kuku besi, diktator dan zalim sering dijatuhkan dan dihina. Pemerintahan yang zalim kebiasaannya tidak kekal lama, malahan di akhirat kelak Allah menghumbankan mereka ke dalam neraka.
Sifat MAZMUMAH (buruk) merupakan inti sifat zalim. Oleh itu Rasulullah SAW melarang dengan sekeras-kerasnya sifat itu. Kezaliman boleh berlaku antara sesama manusia - pemerintah terhadap rakyat, pintar terhadap kurang akal dan sebagainya. Rasulullah SAW telah memberikan amaran, walaupun sejengkal tanah dirampas daripada orang yang empunya milik hak atau harta, Allah SWT akan memberikan balasan kezaliman itu dengan menggantungkan lehernya di tujuh petala bumi sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
“Daripada Syaidatina A’isyah RA, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa merampas hak orang lain walaupun sekadar sejengkal tanah, Allah akan menggantungkan nanti di lehernya tujuh petala bumi”
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)
Tanggunglah beban itu kepada sesiapa yang melakukan kezaliman tersebut. Oleh yang demikian Rasulullah SAW melarang umatnya daripada mengganggu-gugat ketenteraman orang lain dan dengan itu akan mewujudkan masyarakat yang dapat hidup dengan selesa, aman dan harmoni.
Pada zaman sekarang ini, bukan sejengkal tanah mereka yang tidak bertanggungjawab telah menceroboh, malahan berhutan-hutan, berekar-ekar hinga ke berhektar-hektar banyaknya. Pandangan nun jauh di mana-mana jua (tanah) banyak tanah (dikatakan) telah dikebas, dihilangkan, ditukar hak milik oleh orang yang diberi kuasa kerana tuan tanah gagal membayar cukai tanah tahunan atau faktor lainnya. Malahan ada yang berani menjual atau menyelewengkannya. Jika benar, marilah kembali ke jalan Allah SWT bagi sesiapa juga yang beriman.
Mereka yang menceroboh atau yang diberi kuasa sama ada pengusaha atau pentadbir tanah atau kuncu-kuncunya, mereka inilah yang biasa melakukan jenayah dan kezaliman di muka bumi ini, semuanya menjalankan jenayah secara licik dan bijak memutarbelitkan maklumat tanah kepunyaan orang lain dan tanah-tanah kosong milik Negara, kelak mereka akan menerima padah akan perbuatan itu... "Ingatlah sedikit kuasa yang diamanahkan itu, kelak leher akan digantung disebabkan tanah-tanah yang diceroboh dan yang dicuri itu. Balasan itu nanti akan disaksikan oleh segenap manusia terhadap kesalahan yang kamu dilakukan."
Oleh itu marilah, pulangkanlah semula harta tanah jika diperolehi secara salah dan terkutuk itu kepada tuan asal atau kepada waris mereka atau kepada negara sebelum 'malaikat maut' menjemput anda. Adakah yang diperolehi secara 'haram' itu ingin dijadikan harta peninggalan atau harta pusaka? Tepok dada tanyalah Iman kita, jika kita mengaku sebagai umat Muhammad SAW.
Marilah dan ikutilah contoh Rasulullah SAW. Baginda adalah suami, bapa, pemimpin, pemerintah dan segala-galanya dengan sentiasa mengutamakan umatnya di dalam setiap kegiatan. Kekayaan dan kemakmuran dikongsi bersama. Inilah sedekah yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang diberi kuasa supaya sentiasa mencontohi Rasulullah SAW dalam mengutamakan rakyat. Adakah kita umat Nabi Muhammad SAW? Sila jawablah ke atas diri masing-masing. Sekiranya ada hutan balak, wajarlah mengutamakan rakyat dahulu, kemudian barulah pengusaha. Rakyat perlu didahulukan setidak-tidaknya tidak terasing atau menjadi pengemis di negara sendiri. Mahukah anda melihat anak bangsa kita mengemis di negara sendiri? Begitu juga jika ada kawasan pasir, wajarlah mengutamakan rakyat dahulu kemudian barulah pengusaha, bukannya pengusaha dahulu kemudian rakyat atau rakyat tidak perlu menikmati langsung. Rakyat bukanlah hendak kemewahan, tetapi perlu merasai nikmat Allah SWT wahai pentadbir dan penguasa tanah sekelian!
Jika ada pencerobohan hak orang lain dan merampas harta tanah mereka adalah amat tidak wajar apatah lagi tanpa persetujuan tuan punya tanah atau pun waris mereka.
Kelak Allah SWT akan membela orang yang teraniaya dengan menghukum orang yang melakukan kezaliman itu. Merujuk hadis di atas Rasulullah SAW mengingatkan supaya kita semua berbuat baik kepada tanah kerana tanah adalah harta yang sering diselewengkan oleh 'manusia'. Tanah menjadi rebutan, perbalahan malahan pergaduhan sesama sendiri yang tidak ada kesudahannya.
gambar hiasan - maklumat tanah (yang diberi milik).
Di mana-mana jua, manusia tetap mencari tanah untuk membuat tapak rumah dan ini merupakan pencarian utamanya sekalipun ada halangan. Inilah peranan besar dan kekuasaan tanah dalam membina tamaddun manusia. Walaupun diceroboh dan dihina, para pemilik tanah tetap mempertahankan tanah dan hak mereka kerana ia adalah maruah dan kehormatan mereka dan keluarga. Merampas tanah orang lain adalah suatu penindasan, kezaliman dan menunjukkan sikap tamak haloba sekalipun status suatu tanah itu tidak bertuan atau tidak berpenama. Malahan orang yang menuntut bukan harta mereka boleh dianggap sebagai penderhaka dan pengganas.
Lihatlah apa yang sedang berlaku di Palestin, Israel sedang 'kemaruk' dan dengan 'tamak halobanya' membuat penempatan haram di merata-rata tempat terutamanya di Tebing Ghaza. Mahukah kita digelar Israel di tanah air sendiri?
Tanah-tanah anak yatim ditukar milik kepada orang lain, tanah-tanah kosong menjadi bertuan, tanah-tanah wakaf, tanah-tanah bertuan apatah lagi yang tidak bertuan hatta di tengah-tengah hutan rimba juga sudah ada pemiliknya sekalipun mereka tidak layak menerimanya. Oleh kerana ada sedikit kuasa yang diberikan maka penyalahgunaan kedudukan sering dilakukan untuk kesenangan diri, keluarga dan kroni. Ingatlah bahawa sedikit kuasa yang diberikan itu adalah amanah Allah dan Allah SWT amat berkuasa kepada tiap-tiap sesuatu. Hindarilah daripada melakukan perkara tersebut, kerana Allah akan membalasnya dengan siksaan yang amat pedih dengan sekeras-keras azab sebagaimana firmanNya:
وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
(Surah Al-‘A’raf, 7: Ayat 36)
Ertinya: Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Percayalah dan yakinilah akan amaran ayat-ayat Allah SWT itu kerana kebenaran akan tetap tiba.
Allah SWT telah berfirman:
وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
(Surah: Al-Isra’, 17: Ayat 81)
Ertinya: Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".
Tamak haloba adalah sifat yang amat keji. Islam memerintahkan umat manusia agar sentiasa bersikap rasional dan waras di dalam mengumpulkan harta kekayaan.
Firman Allah SWT:
وَتُحِبُّونَ الْمَالَ حُبًّا جَمًّا
(Surah: Al-Fajr’, 89: Ayat 20)
Ertinya: Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!
Firman Allah SWT yang lain:
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
(Surah: ‘Ali-‘Imran, 3: Ayat 14)
Ertinya: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
Janganlah melakukan kezaliman kerana hidup ini hanya sementara dan manusia akan kembali kepadaNya. Mati itu benar, syurga neraka itu benar, hari pembalasan itu benar. Oleh yang demikian mengumpulkan harta tidak sah akan ditanya dan kematian adalah penasihat kita yang terbaik. Firman Allah SWT:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
(Surah: ‘Ali-‘Imran, 3: Ayat 185)
Ertinya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan
bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Catatan di atas adalah sebagai mengingatkan semua muslimin dan muslimat agar tidak terlibat dengan penyelewengan tanah yang telah berhak milik atau pun kepunyaan negara. Maka marilah kita lihat keadaan manusia di dalam Neraka sebagaimana sebagaimana Hadis Rasulullah SAW dan Firman Allah SWT:
Diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khatab r.a. bahawa Jibril telah datang berjumpa Rasulullah SAW bukan di waktu ia selalu datang.
Rasulullah SAW menghampiri Jibril dan berkata : "Hai Jibril, mengapa wajahmu berubah ?"
Jawab Jibril : "Aku diperintahkan datang untuk menerangkan tentang semburan api neraka"
Rasulullah SAW berkata :"Terangkan kepadaku tentang keadaan Neraka dan Jahannam'
Jawab Jibril : "Sesungguhnya Allah memerintahkan agar jahanam dinyalakan apinya selama 1000 tahun, sehingga berubah warnanya menjadi putih. Kemudian diperintahkan agar dinyalakan 1000 tahun lagi, lalu apinya menjadi merah. Setelah itu diperintahkan supaya dinyalakan selama 1000 tahun lagi, maka apinya menjadi hitam pekat dan tidak padam-padam.
Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, sekiranya lubang neraka itu dibuka sebesar lubang jarum, maka terbakarlah bumi dan segala isinya kerana betapa panasnya. Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, sekiranya salah seorang dari penjaga-penjaga neraka ini diutuskan ke bumi ini, nescaya matilah semua manusia kerana wajahnya hodoh dan baunya terlalu busuk. Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, jika satu lingkaran daripada rantai neraka diletakkan di atas sebuah gunung, maka tembuslah gunung itu hingga ke dasar bumi yang paling bawah sekali”.
Firman Allah SWT:
تَلْفَحُ وُجُوهَهُمُ النَّارُ وَهُمْ فِيهَا كَالِحُونَ
(Surah: Al-Mukminun, 203: Ayat 104)
Ertinya: Api neraka itu membakar muka mereka, dan tinggalah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat.
Firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
(Surah: An-Nisa’, 4: Ayat 56)
Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka.
Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Firman Allah SWT dalam Surah ‘Ibrahim, 14: Ayat 49 dan 50:
وَتَرَى الْمُجْرِمِينَ يَوْمَئِذٍ مُّقَرَّنِينَ فِي الْأَصْفَادِ
(Surah ‘Ibrahim, 14: Ayat 49)
Ertinya: Dan engkau akan melihat orang-orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu.
سَرَابِيلُهُم مِّن قَطِرَانٍ وَتَغْشَىٰ وُجُوهَهُمُ النَّارُ
(Surah ‘Ibrahim, 14: Ayat 50)
Ertinya: Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka.
Firman Allah SWT:
لَهُم مِّن جَهَنَّمَ مِهَادٌ وَمِن فَوْقِهِمْ غَوَاشٍ ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الظَّالِمِينَ
(Surah Al-‘Akraf, 7: Ayat 41)
Ertinya: “Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya)”
Oleh itu marilah wahai penguasa dan pentadbir-pentadbir tanah sekelian! Bersikaplah dengan sikap yang adil dalam menjalankan amanah kerja dan kuasa berpandukan kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah yang menyuburi dan mendasari hidup kita sebelum nyawa diangkat sampai ke tenggorok. Ingatlah setiap ikrar yang kita ucapkan setiap waktu kita mendirikan solat "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kepada Allah sekelian alam".
Ingatlah kita semua sebelum maut menjemput untuk kembali ke hadrat Ilahi"
Wallahua’lam.
gambar hiasan - saat-saat kematian
00000000
No comments:
Post a Comment