Selalu
sangat kita mendengar para ustaz menyatakan bahawa wanita tidak digalakkan ke
masjid. Tetapi ada juga di kalangan muslimat yang bertanya tentang apakah
logiknya larangan itu. Ini kerana bagi mereka hanya larangan ke masjid yang
diperkatakan, tetapi tidak pula dicanang larangan ke tempat-tempat yang lain.
Kalau kita melihat kepada
hukum solat berjemaah wanita di masjid, kita akan dapati para ulamak telah
menggunakan ‘Ijmak’ (kesepakatan) menyatakan bahawa solat jemaah tidaklah wajib
bagi kaum wanita. Ianya juga ada disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hazm dalam
kitabnya “Al-Muhalla 4:196”. Kita juga dapati sebahagian daripada
mereka memakruhkan kepada wanita untuk ke masjid, terutamanya kepada para
pemudi atau anak-anak gadis. Dan alasan yang biasa diberikan adalah kerana
bimbangkan akan fitnah. Dan kita juga dapati bahawa mereka telah bersepakat
menyatakan bahawa tuntutan solat berjemaah kepada kaum wanita tidaklah sama
sebagaimana kepada kaum lelaki. Berkata Imam Nawawi dalam kitabnya “Al-Majmu'
”, di mana terdapat beberapa perbezaan antara lelaki dan perempuan
dalam hukum solat berjemaah. Antaranya ialah “tuntutannya tidaklah sama seperti
tuntutan kepada kaum lelaki”.
Kebanyakan ulama' pula mengaggap
bahawa solat di rumah adalah lebih baik bagi kaum wanita berbanding di masjid.
Pendapat mereka ini bersesuaian dengan Sabda Nabi SAW yang mafhumnya:
“…dan rumah kediaman
mereka adalah lebih baik bagi mereka” (Hadis Riwayat
Imam Ahmad dan Abu Daud);
dan “Solat
di kamarmu lebih utama daripada shalat di rumahmu. Solat di rumahmu lebih utama
daripada solat di masjid kaummu” (Hadis Riwayat Ibnu
Khuzaimah);
Hadis tersebut tidak bertentangan
dengan hadis yang mafhumnya: “Solat di masjidku lebih utama seribu solat dibandingkan
dengan solat di masjid-masjid yang lainnya” (Hadis Riwayat
Muslim).
Berkata Syaikh Al-Albani Rahimahullah:
“Hadis tersebut tidak menafikan bahawa solat-solat mereka (para wanita)
di rumahnya lebih utama bagi mereka, sebagaimana tidak dinafikannya pula
keutamaan solat sunnah di rumah bagi lelaki dibandingkan jika dilakukan di
masjid. Akan tetapi jika lelaki solat fardhu di salah satu masjid yang tiga (Masjidil
haram Makkah, Masjidin Nabawi Madinah dan Masjidil Aqso), maka mereka mendapat
keutamaan-keutamaan dan kekhususan-kekhususan dibandingkan solat di
masjid-masjid lainnya, demikian pula halnya bagi wanita.” (Lihat Jilbab Al Mar’ah Al Muslimah :156)
Walau bagaimana pun, kita
juga mendapati bahawa para ulamak telah bersepakat tidak mengharamkan kaum
wanita ke masjid. Berkata Al-Imam Ibnul Jauzi: “Harus bagi seorang perempuan untuk keluar ke masjid untuk solat
berjemaah bersama kaum lelaki” (Lihat: Ahkamun Nisa', m/s 36,
cetakan pertama, Matbaah al-Halabi, Mesir, 1994). Bahkan ada di
kalangan mereka yang menganggap bahawa elok juga bagi kaum wanita untuk datang
solat berjemaah di masjid. Berkata al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya Al-Muhalla:
“Jika hadir seorang wanita ke masjid untuk
bersolat berjemaah bersama kaum lelaki, maka itu adalah satu perkara yang baik”
. Bagi mereka hadis yang menyatakan kelebihan solat berjemaah mengatasi solat
bersendirian dengan 27 darjat tidak boleh dikhususkan untuk kaum lelaki sahaja.
Lihat 'al-Mufassal Fi Ahkamil Mar'ah', jilid 1, m/s 212.
Sebenarnya
tidak ada nas yang jelas melarang wanita ke masjid, bahkan nas yang ada
hanyalah menyatakan bahawa solat di rumah adalah lebih baik. Nas ini adalah
penutup kepada hadis yang menyatakan bahawa mereka perlu diberikan keizinan
untuk ke masjid. Sabda Nabi SAW yang mafhumnya:
"Jangan kamu menegah kaum wanita ke masjid-masjid, dan (solat
mereka di) rumah-rumah mereka adalah lebih baik". Hadis
sohih riwayat Abu Daud, Kitabus Solah,
Dan (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah) Nabi SAW bersabda
yang mafhumnya “Janganlah kamu melarang wanita-wanita
kamu (untuk pergi ke) masjid dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka”.
Berkata Imam Asy Syaukani
rahimahullah ketika menjelaskan lafaz “Rumah-rumah mereka lebih utama
bagi mereka“, maksudnya adalah “Solat-solat mereka (wanita) di rumahnya itu lebih utama bagi mereka
dibandingkan dengan solatnya di masjid. Jika mereka mengetahui yang demikian
(pastilah mereka tidak meminta untuk keluar masjid). Akan tetapi kerana mereka
tidak mengetahuinya, maka mereka (shahabiyah) meminta izin untuk keluar ke
masjid dengan berkeyakinan bahwa pahalanya lebih banyak daripada solat di
rumahnya” (Lihat Nailul Authar 3:131).
Dari riwayat-riwayat di atas, para ulama mengistinbatkan
hukum bahawa solat wanita di dalam rumahnya lebih utama daripada shalat di
masjid.
Walaupun demikian mungkin
akan timbul dalam benak kita suatu pertanyaan: “Manakah yang lebih
utama, wanita solat di rumahnya dengan berjama’ah atau solat sendiri. Dan
apakah solat jama’ahnya akan mendapatkan seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah
SAW (yakni lebih utama 27 darjat)?” Mari kita
melihat hadits “Solat berjama’ah lebih utama dibandingkan solat sendiri dengan
dua puluh lima (dalam riwayat lain dengan dua puluh
tujuh) darjat. Apakah hadis itu bersifat umum bagi lelaki dan wanita?”
Syaikh Al Albani memberi
komentar kepada hadis ‘Aisyah dan Ummu Salamah رضي
الله عنهما yang mengimami para wanita di dalam
solat dengan perkataan beliau sebagai berikut : “Atsar-atsar ini baik untuk diamalkan, lebih-lebih jika dihubungkan
dengan keumuman sabda Rasulullah bahawa para wanita itu serupa lelaki ‘. Namun
penyamaan ini di dalam hal berjama’ah bukan di dalam keutamaan yang dua puluh
lima atau dua puluh tujuh darjat.”
Daripada keterangan di atas, maka keutamaan dua puluh lima dan dua puluh
tujuh darjat itu khusus untuk solat jama’ah yang dilakukan di masjid,
sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Hajar: “Bahkan yang
paling jelas adalah bahawa darjat yang disebutkan itu khusus bagi jama’ah di
masjid” (Lihat Fathul Bari 2:159). Hal ini berdasarkan
hadis Nabi SAW yang mafhumnya:
“Solat seorang dengan
berjama’ah dilipat gandakan ke atas solatnya di rumahnya dan di pasar
dengan dua puluh lima kali ganda. Hal ini dia perolehi apabila dia berwudhu
lalu menyempurnakan wudhunya kemudian keluar menuju ke masjid. Tidak
mengeluarkannya kecuali untuk solat. Maka tidaklah dia melangkah satu langkah,
kecuali diangkat baginya satu darjat dan dihapus daripadanya satu kesalahan dan
tatkala dia solat para malaikat terus menerus mengucapkan selawat ke atasnya
selama dia di tempat solatya dengan doa: ‘Ya Allah, berilah selawat atasnya,
rahmatilah dia. Senantiasa salah seorang di antara kita dalam keadaan solat
selama menunggu solat”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Musli
m).
Dengan demikian maka solat
jama’ah wanita di rumahnya tidak termasuk dalam keutamaan itu (dua puluh lima atau dua puluh tujuh darjat), tetapi mereka
mempunyai keutamaan tersendiri baik dia sollat di rumahnya dengan berjama’ah
atau tidak berjama’ah hal ini lebih utama daripada solatnya di masjid.
Dan terdapat juga kata-kata Siti
Aisyah yang seolah-olah menunjukkan bahawa kaum wanita dilarang ke masjid.
Aisyah berkata:
“Kalaulah Rasulullah
SAW melihat apa yang telah dilakukan oleh wanita sekarang (zaman beliau),
nescaya baginda akan melarang mereka (ke masjid), sebagaimana telah dilarang
perempuan Bani Israil.
(Riwayat
Imam Bukhari.)
Berkata al-Hafiz Ibn Hajar
Al-Asqalani: “…. kata-kata Aisyah itu
tidaklah mengubahkan hukum (yang sedia ada). Ini kerana beliau menggantungkan
(larangan) tadi dengan satu syarat yang tidak wujud, yang hanya berdasarkan
sangkaan beliau sahaja. Perkataan beliau:“Kalaulah Rasulullah SAW melihat” boleh
(dijawab dengan) dikatakan bahawa baginda tidak melihatnya dan tidak
melarangnya. Maka kekallah hukum (yang asal, iaitu tiada larangan). Bahkan
Aisyah sendiri tidaklah secara jelas melarang, sekalipun perkataannnya itu
menunjukkan bahawa beliau seolah-olah melarangnya. Lagipun Allah SWT telah pun
mengetahui apa yang akan dilakukan oleh para wanita, dan Dia tidaklah
mewahyukan kepada NabiNya untuk melarang mereka. Kalaulah apa yang mereka
lakukan itu memerlukan dilarang mereka ke masjid, maka melarang mereka ke
pasar-pasar adalah lebih utama. Lihat Fathul Bari, Kitabul
Azan, juz 2, m/s 445.
Kerana itulah mereka juga
perlu diberikan keizinan untuk pergi solat berjemaah di masjid, walaupun pada
malam hari. Sabda Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar
yang mafhu
mnya:
"Berilah keizinan kepada wanita-wanita kamu untuk ke masjid pada
malam hari".
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Lihat: Ahkamun Nisa', m/s
39. Kaum wanita di zaman Rasulullah SAW juga menghadiri solat berjemaah di
masjid, dan Rasulullah SAW. tidaklah menghalang mereka. Bahkan dalam hadis
riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Aisyah menyatakan bahawa kaum muslimat datang
berjemaah solat Fardhu Subuh bersama Rasulullah SAW, dan mereka tidaklah dapat
dicam kerana hari masih gelap (sekalipun sudah ada cahaya pagi). Isteri-isteri
Rasulullah SAW pula, bukan sahaja datang ke masjid, bahkan mereka juga
beriktikaf di masjid di bulan Ramadhan. Semua nas ini dengan jelas menunjukkan
bahawa wanita
harus untuk ke masjid dan kita tidak sepatutnya menghalang mereka.
Oleh itu, janganlah hanya melihat kepada hukum solat berjemaah yang
ditulis dalam kitab-kitab Fiqh. Ini kerana hukum tersebut hanya untuk hukum
datang berjemaah ke masjid. Padahal kita juga perlu melihat bahawa masjidlah
tempat penyebaran ilmu dan kefahaman mengenai Islam. Kerana inilah Dr Yusof
al-Qardawi berkata: "Solat seorang perempuan di rumahnya itu lebih
baik jika dia ke masjid hanya untuk berjemaah, tanpa sebarang faedah lain,
tetapi jika ada faedah yang lain seperti mendengar tazkirah
keagamaan, mempelajari sesuatu ilmu atau mendengar bacaan al-Qur'an daripada
qari yang khusyuk, maka pergi ke masjid itu adalah lebih baik". Ini
kerana kewajiban belajar agama dan mendengar tazkirah bukan tertentu untuk
golongan lelaki sahaja. Bahkan terdapat hadis yang khusus yang menyatakan
kelebihan belajar di masjid. Sabda Nabi SAW yang mafhumnya.:
“Sesiapa yang datang ke masjid dan tidak ada tujuan baginya melainkan
mempelajari kebaikan atau mengajarnya, maka baginya pahala haji yang sempurna”. Hadis riwayat Tobarani dan al-Albani mengangapnya sohih. Lihat Sohih
Targhib wat Tarhib, m/s 38.
Walau bagaimana pun,
wanita perlu mendapat keizinan suami atau wali untuk ke masjid. Dan tidak patut
bagi seorang ayah atau seorang suami untuk menghalang kecuali ada sebab yang munasabah.
Dan mereka juga hendaklah menjaga adab-adab untuk ke masjid. Telah
menjadi ijma’ (kesepakatan) para ulama bahawa Rasulullah SAW tidak mencegah sama
sekali para wanita untuk solat berjama’ah di masjid bersama beliau sehingga
wafatnya. Demikian pula para Khulafa’ Rasyidin sesudah Baginda SAW. Rasulullah SAW
bersabda yang mafhumnya:
“Apabila salah satu wanita di antara
kamu meminta izin ke masjid, maka janganlah kamu cegah mereka”. (Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Dari Ibnu Umar
رضي الله عنهما, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya “Janganlah kamu melarang hamba (para wanita) Allah ke
masjid-masjid Allah”
(HR.
Bukhari).
Menyoroti
hadis-hadis di atas, Imam Nawawi berkata: “Hadis ini dan yang
semisalnya (menjelaskan) dengan jelas sekali bahawa wanita tidak dilarang pergi
ke masjid. Akan tetapi dengan syarat-syarat yang telah disebutkan oleh para
ulama’ yang mengambilkira daripada hadis-hadis iaitu:
- Keluar
dalam keadaan menutup aurat, berpakaian sopan, tidak memakai baju yang
mewah;
- Tidak
memakai wangi-wangian atau bau-bauan, tidak tabarruj (berhias-hias dan
bersolek, tidak memakai gelang kaki yang dapat kedengaran bunyinya);
- Lebih
elok dalam keadaan ditemani dengan mahram, suami, atau kawan-kawan dan
tidak berikhtilat dengan kaum lelaki dan bukan gadis yang dengannya dapat
menimbulkan fitnah.
Namun jika dia belum/tidak mempunyai suami atau tuan, maka diharamkan
melarang mereka ke masjid apabila terpenuhi syarat-syarat di atas”. (Lihat Syarh Shahih Muslim 4:382-383).
Solat jamaah (termasuklah solat 5 waktu, hari raya, istisqa’ atau solat
gerhana) sunat bagi perempuan dan mengerjakannya di dalam rumah lebih
utama daripada di masjid, baik bagi perempuan yang masih muda atau yang sudah
tua. Sedangkan mengerjakan di masjid dengan keberadaan makmum laki-laki makruh
jika masih muda dan aman dari fitnah, bahkan akan jadi haram jika nyata ada
fitnah, tanpa keizinan suami (seperti ketika suami sedang bekerja atau di luar
negeri) atau bahkan ada larangan dari suami.
Realiti yang ada,
masyarakatnya masa kini sudah jauh berbeza dengan masyarakat di zaman
Rasulullah SAW di mana orang laki-laki tidak menjaga pandangannya dari
perempuan ajnabiyah, perempuan keluar rumah menampakkan diri dengan riak dan
raut wajah, hiasan dan pakaian serba terbuka sehingga tidak terlepas daripada
fitnah. Oleh karena itu, Imam Abu Bakar bin Muhammad Al-Huseini dalam kitabnya “Kifayatul
Akhyar” menyatakan haram bagi perempuan yang muda untuk keluar solat
jemaah, khususnya solat Hari Raya (ied).
SOLAT BERJEMA’AH YANG DIIMAMKAN OLEH
WANITA
Apabila
kaum wanita melaksanakan solat berjama’ah yang diimami oleh seorang wanita maka
sebagian ulama memandang baik, hal ini berdasarkan beberapa riwayat di
antaranya riwayat dari Raithah Al Hanafiyah :
أَنَّ
عَائِشَةَ أَمـــَّتْهُنَّ وَقَامَتْ بــــَيْنـــَهُنَّ فِيْ صَلاَةٍ
مَكْتُوْبــــَةٍ ( رواه الدارقطني(
“Bahawasanya Aisyah pernah mengimami
wanita-wanita pada salah satu solat wajib, dan beliau berdiri di antara mereka” (HR. Daraquthni).
Diriwayatkan daripada Ummu Salamah رضي الله عنها:
أَنـــَّــهَا
أَمَّتْهُنَّ فَقَامَتْ وَسَطًا( رواه عبد الرزاق و البيهقى(
“Bahwasanya beliau (Ummu Salamah, isteri Nabi SAW) mengimami para
wanita; beliau berdiri di tengah (shaf)” (HR. Abdur Razzaq dan
Al Baihaqi)
Berkata Syeikh Jibrin
hafizahullah: “Ada pun solat berjama’ah bagi wanita
maka hal tersebut tidak mengapa dan bagi wanita yang memimpin solat tersebut
berdiri di shaf ma’mum, namun mereka tidak mendapatkan keutamaan solat
berjema’ah sebagaimana yang diperolehi oleh kaum lelaki yang melaksanakan di
masjid, dan tidak dibenarkan bagi seorang lelaki untuk meninggalkan solat
berjema’ah di masjid dengan alasan akan melaksanakannya secara berjama’ah di
rumahnya bersama-sama dengan keluarga atau kaum wanita kerana mendatangi masjid
untuk melaksanakan solat fardhu adalah wajib bagi lelaki.” (Lihat Fatawa Islamiyah 1:363)
Semoga
Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada seluruh kaum
muslimin dan muslimat.
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment