Kematian dan Tanda-tanda kematian

Sudah menjadi lumrah alam ini, semua yang kita lihat di sekeliling kita sama ada kawan-kawan kita, saudara-mara atau apa-apa sahaja semua yang hidup di dunia ini pastinya suatu hari nanti akan mati (merasai kematian), sebagaimana berjuta-juta manusia yang hidup sebelum kita. Hal ini telah dinyatakan di dalam ayat al-Qur'an:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ
وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَۖ
Mafhumnya: "Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan"
(Surah Al-Anbiya': 35).
Melupai kepastian ini menandakan kurangnya kesedaran. Manusia tidak dapat lari daripada maut dan pastinya akan mati kerana sebab-sebab tertentu pada satu masa dan tempat yang tidak diketahuinya.
Rasulullah SAW bersabda, yang maksudnya:
"Perbanyaklah mengingat yang memutuskan kenikmatan (maksudnya kematian)" Hadis Riwayat Abu Hurairah RA.
Firman Allah SWT:
قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Mafhumnya: Katakanlah, Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
(Surat al-Jumu'ah: 8)
Ingatlah, kecantikan, dunia glamor, status, harta benda, kekuasaan atau usia muda tidak dapat menghalang kematian seseorang. Walaupun ramai manusia sedar akan realiti ini, mereka cuba mengelak daripada memikirkan hal kematian dan cuba melupakan perkara ini. Tetapi semuanya hanyalah penipuan terhadap diri sendiri. Oleh sebab itulah, Rasulullaah SAW juga telah mengingatkan orang-orang yang beriman supaya “selalu ingatkan mati” (Tirmidhi). Samada kita memikirkan perkara yang tidak dapat dielakkan ini atau tidak, maut pastinya datang kepada kita:
Firman Allah SWT:
وَجَاءَتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَقِّ ۖ ذَٰلِكَ مَا كُنتَ مِنْهُ تَحِيدُ
Mafhumnya: "Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmuat" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!"
(Surah Qaf: 19)
Bertentangan dengan persepi umum, maut bukanlah peringkat terakhir kepada turutan peristiwa. Apabila tibanya masa, Allah akan menghantar malaikat kepada mereka yang telah ditakdirkan mati pada masa berkenaan dan mengambil roh orang itu secara tiba-tiba, pada masa yang tidak dijangka. Ia mungkin terjadi tepat pada saat ini, sebelum kita sempat bangun daripada kerusi kita, malaikat maut akan muncul di hadapan kita secara tiba-tiba. Kita mungkin dikelilingi oleh kawan-kawan atau ahli keluarga, tetapi mereka tidak dapat merubah kemungkinan ini; mereka tidak boleh dengan apa cara sekali pun menghalang kita daripada maut. Oleh itu, jangan sesekali lupa, setiap roh akan diambil oleh Malaikat Maut yang diutuskan oleh Allah untuk melakukan tugas itu dan akan kembali kepada Allah.
Namun, perkataan " mati" pada bila-bila masa sahaja mungkin sukar untuk difahami. Memikirkan perkara-perkara yang masih perlu dicapai membuatkan kita terasa terlalu awal untuk kita meninggal dunia. Kenyataan sebenarnya ialah, hanya Allah yang menentukan masa kematian. Tidak seminit bertambah atau berkurang seseorang itu boleh hidup selain daripada masa yang telah ditetapkan kepadanya. Maut menemui roh seseorang pada masa terbaik yang telah ditentukan dalam takdirnya:
Firman Allah SWT:
وَلَن يُؤَخِّرَ اللَّهُ نَفْسًا إِذَا جَاءَ أَجَلُهَا ۚ وَاللَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Mafhumnya: "Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan."
(Surah al-Munafiqun: 11)
Pernahkah kita terfikir apa yang dialami oleh badan kita semasa mati?
Tidak kira sama ada kita cantik atau kaya, badan kita yang kaku akan terbaring di dalam bilik atau di bilik mayat. Dibaluti dengan kain kafan, badan kita akan diletakkan di dalam keranda yang sempit. Kereta jenazah akan membawa badan kita ke tanah perkuburan di mana mayat kita akan ditempatkan di dalam liang lahad. Tanah akan menutupi kita. Badan kita, yang tinggal tulang dan daging akan mula reput dan menjadi busuk. Akhirnya, tiada apa yang tinggal kecuali tulang-tulang. Jangan sesekali lupa bahawa kita akan menemui hari itu, akhirnya badan kita akan keseorangan di bawah tanah.
Mayat yang kaku adalah objek yang kita perlu mengambil pengajaran. Mayat sukar untuk dibiarkan walaupun untuk beberapa minit. Pernahkah kita terfikir kenapa tubuh manusia yang mampu mempertahankan kekuatannya untuk jangka hayat seumur hidup menjadi sangat lemah selepas meninggal? Ini adalah sesuatu yang perlu kita fikir-fikirkan kerana mengingati tubuh kita yang akan reput – dan tubuh-tubuh orang yang kita sayangi – akan membantu kita untuk tidak lupa kepada hari akhirat dan tidak terikat dengan dunia ini.
Walau bagaimanapun, majoriti manusia terlalu taksub dengan aktiviti-aktiviti harian yang kurang penting dan melupakan hari yang tidak dapat dielakkan ini. Namun, ini ialah kesilapan yang pasti; kegagalan mereka untuk mempersiapkan diri untuk hari akhirat akhirnya akan membawa mereka kepada hukaman yang selama-lamanya. Oleh itu, sentiasa beringat bahawa maut pasti menemui kita pada suatu hari nanti, maka kita perlulah berusaha dengan gigih untuk melakukan amal kebaikan supaya mendapat keredhaan Allah. Tuhan kita, Yang Maha Berkuasa dan Maha Adil, memberikan kita masa yang cukup kepada setiap orang untuk untuk mengambil langkah-langkah berjaga terhadap amaran-Nya. Jangka masa ini, walau bagaimanapun hanya terbatas kepada kehidupan didunia sahaja. Oleh itu, seseorang hanya boleh bertaubat dengan ikhlas untuk segala kesalahannya di dalam dunia ini sahaja. Sebaik sahaja maut datang, tidak akan ada lagi peluang untuk memperbaiki kesalahannya. Sebaliknya, dia akan berasa menyesal untuk selama-lamanya:
Firman Allah:
وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَا أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا غَيْرَ الَّذِي كُنَّا نَعْمَلُ ۚ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُم مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيرُ ۖ فَذُوقُوا فَمَا لِلظَّالِمِينَ مِن نَّصِيرٍ
Mafhumnya: "Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan".
(Surah Fatir: Ayat 37)
Jangan lupa yang kematian bukanlah titik noktah; seperti sesetengah pendapat. Kematian bukan bermakna semuanya sudah sampai ke penghujung. Bukan juga tidur yang lena selama-lamanya seperti yang dianggap. Kematian adalah permulaan ke arah realiti dan keabadian hidup; kehidupan ini adalah bergantung kepada cara seseorang membawa diri masing-masing ketika di dunia dan ia sama sekali tidak akan berubah selepas maut datang kepadanya. Kematian ialah pintu kepada kegembiraan dan keselamatan, jika seseorang itu menggunakan masanya untuk mendapatkan keredhaan Allah. Untuk mereka yang berpaling daripada Allah, walau bagaimanapun, ia menjadi permulaan kepada azab yang berkekalan.
Di dunia ini, Allah meletakkan pelbagai kejadian untuk manusia alami supaya ia menjadi peringatan kepada maut dan hari kiamat. Mereka yang cenderung untuk mengambil peringatan, ia akan membuatkan mereka merenung dengan lebih serius tentang kehidupan mereka dan akan mempertimbangkan semula pandangan mereka tentang kehidupan ini. Walau bagaimanapun, mereka yang mengabaikan peringatan ini, berada dalam kerugian yang besar. Jangan sesekali lupa bahawa mereka yang telah meninggal dunia tidak pernah menjangkakan kematian mereka, sama seperti kita yang masih hidup sekarang, dan maut mungkin akan datang kepada kita pada sesuatu masa yang tidak dijangkakan, seperti semasa kita makan malam atau membuat rancangan untuk hari minggu.
Jadi, jangan sesekali lupa untuk bekerja untuk kehidupan kita di akhirat, sebelum ajal menemui kita dimana pada masa itu kita sudah tiada peluang untuk melakukan amalan baik.
Di dalam Quran, Allah menyatakan bahawa maut bukanlah sesuatu yang boleh ditunda-tunda dan Dia menceritakan penyesalan yang mendalam yang dialami oleh mereka yang telah ditakdirkan meninggal dunia:
Firman Allah di dalam:
وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصَّالِحِينَۚ
وَلَن يُؤَخِّرَ اللَّهُ نَفْسًا إِذَا جَاءَ أَجَلُهَا ۚ وَاللَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Mafhumnya: "Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: “Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh?”
"Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan."
(Surah al-Munafiqun Ayat 10-11)

Sekarang marilah kita lihat tanda-tanda kematian terhadap manusia:
Tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedaratau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.
Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih di mana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.
TANDA 40 HARI
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi Malaikat Maut ini memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan kebingungan seketika. Adapun Malaikat Maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.
TANDA 7 HARI
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.
TANDA 3 HARI
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit, hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu di mana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke hadapan dan sukar ditegakkan.
TANDA 1 HARI
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun. Ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.




TANDA AKHIR
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. 



Sesungguhnya mengingati mati itu adalah bijak bagi kita semua.


Marilah kita (sentiasa) berpesan-pesan dengan yang benar, dan marilah kita (sentiasa) berpesan-pesan dengan kesabaran. Sampai bila? Jawabannya sehinggalah kita pulang ke hadrat Allah Rabbul-Jalil. 


Wallahu a'lam...

0000000000000000

No comments:

Post a Comment