Bersalam Dengan Bukan Mahram

Ramai di kalangan pengaku ustaz apabila bersalaman dengan wanita di hadapan khalayak ramai, kemudian ditanya “bukankah bersalam dengan mereka itu haram?” Dengan cepat mereka akan menjawab....  "alaa boleh dalam mazhab lain" atau "ada ulama kata boleh" atau "untuk tidak mengaibkan dan tidak memalukan perempuan itu maka boleh ler bersalaman", atau dengan pel;bagai alasan lainnya. Dengan ertikata puluhan alasan lagi  yang dikemukakan hakikatnya  adalah tidak  takut terhadap hukuman berat Allah SWT  serta tidak menjadi ummat yang patuh kepada  Rasulullah SAW.

 
gambar hiasan - majlis bersalam-salaman.

gambar hiasan - bersalaman menyambut  tetamu.

APA DALIL BERSALAMAN LELAKI-WANITA ITU HARAM?

Di dalam membicarakan hukum bersalam antara lelaki yang sudah dewasa dengan wanita bukan mahram yang sudah dewasa (tetapi bukan untuk membicarakan hukum bersalaman dengan wanita yang sangat tua atau kanak-kanak perempuan yang masih kecil) maka setiap yang 'mukallaf' perlu mengambil perhatian yang sewajarnya.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah ra. mengenai bai'ah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di mana terhadap beberapa orang perempuan:  
Aisyah berkata yang mafhumnya: " Demi Allah, tangan Baginda SAW tidak menyentuh seorang perempuan pun dalam pembai'atan itu. Baginda SAW hanya membai'ah mereka dengan perkataannya: "Benar-benar telah aku bai'ah kamu atas hal itu." 
(Riwayat Imam Bukhari).


Hadis di atas amat jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak bersalaman dengan wanita bukan mahram walaupun mereka menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Rasulullah SAW, namun Rasulullah SAW tidak menyambut mereka dengan bersalaman tetapi Rasulullah SAW bersalam pula dengan lelaki iaitu para sahabat lelaki yang membai'ah Baginda SAW dengan cara bersalaman. Sunnah Rasulullah SAW  itu perlu ada di dalam diri setiap muslim. Yang demikian  sekiranya berlaku kepada kita di mana ada wanita yang bukan mahram menghulur tangan untuk bersalaman  atau lelaki bukan mahram menghulur tangan kepada wanita untuk bersalaman, maka jalan yang  terbaik ialah kita tidak perlu menyambut untuk bersalaman tetapi hendaklah dengan memberi isyarat lain atau mengucapkan salam atau selamat kepadanya sahaja tanpa bersalam tangan.


Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fathul Bari berkata:
"Maksud ucapan Rasulullah SAW yang mafhumnya: "Benar-benar telah bai'ah kamu dengan ucapan." Adalah ucapan tanpa berjabat tangan sepertimana yang biasa terjadi, di mana lelaki berjabat tangan sewaktu bai'ah dijalankan.

Dari Abdullah bin Amr bin al-Asr. Berkata yang mafhumnya: "Rasulullah tidak pernah berjabat tangan tangan dengan perempuan dalam pembai'atan." (Riwayat Imam Ahmad)


Dalil kedua, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan. Ucapanku kepada seorang perempuan seperti kataku pada seratus perempuan." 
(HR Ibnu Hibban, Malik & Nasa'i).

Dari Ma'qil bin Yasaar katanya, Rasulullah SAW telah bersabda yang mafhumnya:"Sesungguhnya jika dicerca kepala salah seorang dari kamu dengan alat dari besi adalah masih lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahramnya)." 
(HR At-Thabrani & al-Baihaqi, sahih).

Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Sudah ditakdirkan bagi anak cucu Adam bahagian daripada zina yang pasti akan menimpanya. Keduanya ialah mata, zinanya ialah memandang; zina dua telinga ialah mendengar; zina lisan ialah ucapan; zina tangan ialah menyentuh; zina kaki ialah melangkah; zina hati ialah menginginkan sesuatu, berangan-angan dan farajnya membenarkan atau mendustakannya."


Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: "Tidak pernah aku menyentuh tangan perempuan (ajnabi/bukan mahram)" 
(HR At-Thabrani, dari Uqailah binti Ubaid).

Kesemua dalil-dalil di atas amat menunjukkan pengharaman bersalaman antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram.


BENARKAH DI SANA ADA DALIL MENGHARUSKAN PERSALAMAN LELAKI-PEREMPUAN?

Ada di antara kita yang bersangat-sangat hendak mempertahankan hukum bersalaman lelaki-wanita dengan sering mengunakan hujjah logik sendiri, dengan mengunakan beberapa hadis yang menyebut nabi memberi salam kepada 'sohabiyah'. Amat malang hadis tersebut terang-terang menunjukkan nabi memberi salam dan ‘BUKAN BERSALAMAN’ dengan wanita. Ya, dalam Islam diharuskan kita memberi salam kepada muslimah dan ‘DIHARAMKAN’ kita bersalaman dengan wanita bukan mahram.


Hakikatnya tiada langsung dalil yang mengharuskan hukum bersalaman lelaki dengan wanita ajnabiyah yang bukan mahram ini bahkan Rasulullah SAW sebagai ikutan kita tidak pernah melakukannya. Amat sedih sekali jika kita tidak menghidupkan sunnah Nabi SAW iaitu dengan tidak bersalaman dengan wanita bukan mahram.


KALAU WANITA TU HULUR TANGAN DAHULU KITA BOLEH SAMBUT?
Jawapannya ialah  tidak boleh, haram hukumnya walaupun wanita ajnabiyah itu menghulurkan tangan untuk bersalam dengan kita di hadapan khalayak ramai sekali pun, haram bagi wanita itu dan haram bagi lelaki menyambut tangannya untuk bersalam, sama ada tanpa bersyahwat atau tidak, atau pun untuk terselamat dari fitnah atau tidak hukumnya tetap HARAM.


Soalan yang sering di lontarkan oleh ‘pemuka sunnah yang palsu’ - Nabi bersalaman (berjabat tangan) dengan perempuan yang bukan mahram ke tidak?! Ketahuilah oleh kamu semua bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan (bukan mahram)." 
(HR Ibnu Hibban, Malik & Nasa'i).


Sehinggakini bagi yang mengaku ‘mukmin’ yang ‘masih mengamalkan bersalaman dengan wanita bukan mahram’ maka tinggalkanlah perbuatan itu. Janganlah hendaknya kita ‘bertasamuh’ dan bertolak ansur dalam isu persalaman wanita-lelaki.  

KESIMPULAN

1. Berikan dan sampaikan salam, jawab salam, bersalamanlah di antara yang halal bukan yang haram.

2. Sesungguhnya bersalaman lelaki dengan perempuan yang bukan mahram itu tetap ‘haram’. Ingat mengingatkan adalah suatu kewajiban kita sesama Islam, sesungguhnya semua umat Islam adalah saudara kita.

Wallahua'lam.

000000000000

2 comments: