SIRI 4: PINTU TAUBAT DITUTUP APABILA TURUN 3 PERKARA

Marilah kita membaca doa ini sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Dari 'Aisyah r.h., Rasulullah SAW di dalam solat sebelum tahyat akhir dengan membaca doa:


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ


وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ 

وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ

Mafhumnya:

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari seksa kubur,
dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah Al Masih Ad-Dajjal, 
dan aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah hidup dan fitnah mati. 

Menurut ulama', perkataan 'Al-Masih' ini terlalu banyak maknanya. Menurut Abu 'Abdillah Al-Khurtubi ada 23 pendapat dan variasi yang berbeza tentang maksud Al-Masih. Di dalam kitab 'Tartibul Qamus' mengatakan ada 50 pendapat tentang maksud Al-Masih. Namun dimutlakkan kepada orang yang betul dan baik, tetapi juga kepada orang yang menyesatkan dan pendusta.      'Al-Masih Isa Ibnu Maryam' itu adalah orang yang benar, manakala 'Al-Masih Ad-Dajjal' itu pula adalah sesat lagi pendusta. Allah melahirkan 2 Al-Masih, Nabi Isa a.s, merupakan Al-Masih yang membawa petunjuk di mana boleh menyembuhkan penyakit kusta dan menghidupkan orang yang telah mati. Namun Al-Masih Ad-Dajjal Laknatullah itu membawa kesesatan dengan menguji manusia yang diberikan kepadanya kuasa teramat hebat di luar kuasa manusia.

Pendapat yang paling kuat di kalangan para ulama' dalam kitab 'An-Nihayah Fi-Ghori Bil-Hadith', Dajjal dinamakan Al-Masih kerana salah satu matanya 'buta' dan akan mengelilingi dunia dalam masa '40 hari' sahaja. Di dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW (Sohih Muslim),
إنه أعورُ
Mafhumnya:  "Sesungguhnya Dajjal itu buta (terhapus) sebelah matanya".

Sebuah ilusi: Peperangan akhir zaman 'malhamah kubro'
akan berlaku menggunakan peralatan pedang, tombak,
dan angkatan berkuda.....
Ad-Dajjal, menurut kitab 'Lisanul-Arab' dan 'Tartibul Qamus' di ambil dari perkataan Arab bermaksud adalah seseorang itu dilulurkan untanya  dengan tar' atau orang yang menutup kebenaran dengan kebatilan atau menutup kekufuran dengan kebohongan manakala dalam istilah melayu Dajjal boleh dimaksudkan 'jahat'  atau tidak baik dan sebagainya. Kalimat asalnya ialah 'addajalu' iaitu mencampur-adukkan. Ulamak bersepakat bahawa kerja Dajjal ini ialah menghuru-harakan, penipu besar dan mempunyai kuasa yang luar biasa. Imam Malik pula menjamakkan sebagai 'Dajjaajalah'. Menurut Imam Al-Qurtubi, kalimah Dajjal ada 10 makna di mana yang dicatatkan ialah 'Orang Yang Buta dan Penipu Besar'. Ia dinamakan juga dengan nama 'Dajjal Akbar' yang akan muncul di zaman Imam Mahadi dan Nabi Isa a.s.


 
Sebuah ilusi: Tentera berkuda kaum muslimin
akan menyampaikan 'Islam' menyinari
keseluruhan bumi dari kekufuran ....


Menurut Yusuf bin 'Abdullah bin Yusuf Al-Wabil, Dajjal ada diungkapkan di dalam Al-Qur'an dilafazkan sebagai 'aayat' yakni 'tanda-tanda' yang tidak disebut secara khusus, sebagaimana Firman Allah SWT:

هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا أَن تَأْتِيَهُمُ الْمَلَائِكَةُ أَوْ يَأْتِيَ رَبُّكَ أَوْ يَأْتِيَ بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ ۗ يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا ۗ قُلِ انتَظِرُوا إِنَّا مُنتَظِرُونَ

( Surah Al-An'am: 158)
Mafhumnya:
Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: "Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami)".

  
NASA mengakui matahari akan terbit
dari sebelah barat.
Apabila ditafsirkan ayat tersebut dengan Hadis (tafsir bil-hadith), maka didapati kalimat 'tanda-tanda' (alamat semakin hampirnya kiamat) yang disebutkan oleh Allah SWT itu adalah 3 perkara. Pertama Dajjal, keduanya, terbit matahari di sebelah barat, ketiganya keluarnya binatang besar yang menghalau sekelian manusia. Ini dijelaskan di dalam Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a,  (soheh Muslim, Kitab Al-Fitan), mafhumnya: "Ada 3 perkara, jika ianya keluar maka tidak ada gunanya iaitu orang yang bertaubat tidak akan diterima sebelum kejadian iaitu terbitnya matahari daripada barat, dajjal dan binatang 'Daabbatul Ard' (binatang bumi)".


 Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment