Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T, marilah kita sentiasa berusaha menjaga setiap patah perkataan yang mahu dituturkatakan atau pun untuk diucapkatakan, sama ada berbicara melalui ucapan di khalayak ramai, berinteraksi secara kumpulan mahu pun secara bertentangan mata (dua orang – anda dengan rakan anda, atau sebagainya).
Bersegeralah kita dengan sentiasa beramal soleh supaya bertambah dan sentiasa tetap IMAN kita kerana fitnah akan berlaku bagaikan kegelapan malam, sehingga seseorang mukmin di waktu pagi berkeadaan Islam akan berubah seolah-olah menjadi kafir di waktu petang, atau di waktu petang bersifat mukmin seolah-olah menjadi kafir di waktu pagi, sanggup menjual agama dan maruahnya dengan nilai-nilai dunia disebabkan lidah yang tidak bertulang.
Kalau kita perhatikan di hari ini semuanya telah berlaku dengan mudah tanpa perasaan gentar dan takut akan azab Allah SWT, lantaran itu leka dengan tipu daya dunia, berpaksikan kebolehan dan kuasa yang ada maka sanggup melakukan apa sahaja, asalkan dijulang nama atau apa sahaja dengan bertuhankan kuasa dan kedudukan. Dengan dikurniakan sedikit pangkat mahu pun sedikit harta (termasuklah wang), maka sanggup berlakon menjadi warak dan alim ….. Ada juga yang terus menerus mengadu domba, memfitnah di sana sini tentang sipolan-sipolan, memaki hamun, menyumpah-seranah, mengherdik, marah-memarahi, menyukarkan diri untuk meminta maaf, suka mencari kesalahan orang dan berbagai-bagai perangai buruk hasutan iblis dan syaitan laknatullah ... sesungguhnya Allah S.W.T Maha Mengetahui. Namun semuanya merupakan pengajaran agar kita tidak termasuk di dalam senarai golongan itu dengan sentiasa menjaga iman yang ada. Marilah kita sentiasa beristighfar sama ada kita sedang duduk, sedang memandu sekalipun sedang bersantai. Marilah kita berusaha menambah IMAN yang ada.
Marilah kita menjaga lidah dan menilainya setiap masa (hapuskan menilai kekurangan orang lain malahan menilai kebaikan dan keburukan diri sendiri setiap hari) selagi ajal belum menjemput. Tegurlah dengan cara berhemah jika ada kesalahan atau kesilapan saudara kita, sesungguhnya manusia tidak sunyi daripada kesalahan mahu pun kesilapan. Sesungguhnya suatu pahala yang akan diperolehi jika kita orang yang berakal. Biarlah kita miskin harta di muka bumi ini tapi kita kaya dengan akhlak dan budi yang baik. Sentiasalah memikirkan tentang kematian yang bakal mendatang. Marilah kita fikirkan sejenak apakah bekalan yang perlu kita bawa ke alam kubor nanti? Marilah kita bersama-sama hilangkan perangai buruk kita yang selalu suka buruk sangka kepada orang lain. Marilah kita maaf-memaafkankan sesiapa juga yang kita pernah kenali (mungkin telah ada berbuat kesalahan kepada kita), bahkan doakan mereka setiap kali mereka berjalan pulang selepas berjumpa kita. Marilah kita sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan cara yang sopan. Hindarkanlah dari menceritakan hal yang tidak baik orang lain.
Dengan harapan apa yang dituturkatakan itu tidak menyinggung orang lain atau tidak menyimpang daripada lunas-lunas dan sahsiah agama sebagaimana yang dikehendaki oleh syara'. Asasnya kita perlu berusaha dan sentiasa menyedari akan lidah kita dengan menjaga bait-bait lisan. Merujuk sebuah Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Ketika seseorang memasuki pagi yang hening, seluruh anggota tubuhnya akan berlutut merayu kepada lidah seraya berkata: Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah (SWT) kerana kami sangat bergantung kepada engkau. Apabila engkau beristiqomah, kami pun akan turut sama beristiqomah. Sebaliknya jika engkau menyimpang dari jalan yang benar, kami pun turut menyimpang.”
(Hadis riwayat Tirmizi)
Seterusnya Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:
”Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya”.
Selanjutnya lagi Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya:
”Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya”.
Selanjutnya lagi Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya:
”Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara..”
Oleh yang demikian marilah kita sentiasa menilai diri kita setiap kali selepas berbicara dengan menegur dan membetulkan kesilapan diri sendiri serta sentiasa berusaha memperbaikinya. Nabi Muhammad S.A.W telah diutuskan ke muka bumi ini adalah untuk menegakkan nilai moral yang tinggi dengan berakhlak mulia. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak” (Hadis riwayat Ahmad)
Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W sentiasa mempamirkan akhlak yang mulia dan terpuji, tutur kata yang menyenangkan, tingkah laku Baginda S.A.W amatlah baik dan bijaksana dalam segala tindakan. Oleh yang demikian marilah kita semua menjadikan Baginda S.A.W sebagai idola sepanjang usia kita. Tak perlulah mereka-mereka yang 'suka pada dunia' dijadikan idola.
Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:
Maksudnya: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia selalu mengingati Allah”
(Surah 33 Al-Ahzab : Ayat 21)
Ayat tersebut menggesa umat Islam yang beriman menjadikan Nabi Muhammad SAW ikutan terbaik dalam cara bercakap, bergaul dan mendidik diri kerana kita harus mempelajari sejarah hidup Baginda Rasulullah untuk memahaminya.
Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya menyatakan yang dimaksudkan ikutan yang baik terhimpun dalam tiga kategori:
- Pertama, perkataannya. Perkataan Rasulullah SAW menjadi ikutan dan pegangan, Oleh itu marilah kita ikuti sunnahnya. Rasulullah SAW tidak berbicara perkara yang sia-sia. Baginda bercakap dengan bahasa yang sopan, lemah lembut dan mudah difahami. Jika perlu, Rasulullah SAW mengulang percakapannya sebanyak tiga kali supaya pembicaraan itu benar-benar difahami dan tidak disalahertikan.
Selain itu janganlah kita meninggikan suara nyaring seperti suara keldai. Firman Allah SWT :
Yang bermaksud:
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata),
sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai"
(Surah Luqman; 31: 19)
Tafsiran ringkas:
Ayat tersebut merupakan untaian wasiat seorang hamba Allah yang dianugerahkan kepadanya Hikmah oleh Allah SWT, bernama Luqman Al-Hakim kepada anak kesayangannya. Banyak ulamak membincangkan tentang siapa Luqman ini. Namun yang lebih besar kepentingannya ialah memahami wasiat-wasiatnya yang bernilai. Wasiatnya dalam surah ini hanyalah 7 perkara. Namun tersimpan di dalamnya ilmu pendidikan dan
Tafsiran ringkas:
Ayat tersebut merupakan untaian wasiat seorang hamba Allah yang dianugerahkan kepadanya Hikmah oleh Allah SWT, bernama Luqman Al-Hakim kepada anak kesayangannya. Banyak ulamak membincangkan tentang siapa Luqman ini. Namun yang lebih besar kepentingannya ialah memahami wasiat-wasiatnya yang bernilai. Wasiatnya dalam surah ini hanyalah 7 perkara. Namun tersimpan di dalamnya ilmu pendidikan dan
psikologi dalam mendidik anak-anak yang tidak akan berubah selamanya. Dalam wasiatnya yang terakhir ini, Luqman menasihati anaknya agar perelokkanlah cara berjalan dengan tidak terlampau cepat atau terlampau perlahan dan memperelokkan suara dengan tidak terjerit-jerit atau meninggikan suara tanpa sebab kerana perbuatan itu seumpama suara keldai yang amat buruk suaranya.
Ulasan:
1) Perkataan “al-Sawt” (suara) hanya disebut sebanyak 6 kali di dalam Al-Quran iaitu dalam Surah Luqman dan Surah Al-Hujurat disebut sebanyak dua kali, manakala dalam Surah Al-Isra’ dan Surah Taha pula hanya sekali sahaja. Yang menariknya dalam Surah Al-Hujurat dan Luqman di mana konteks perbincangan ayat adalah sama. Dalam Surah Luqman, kita disuruh merendahkan suara ketika berbicara sesama kita, supaya manusia dihormati dan bukan menjadi seperti suara keldai. Manakala dalam Surah Al-Hujurat, para sahabat (termasuk semua muslimin) diarah agar jangan meninggikan suara di hadapan Rasulullah SAW kerana dianggap tidak beradab bersama kekasih Allah.
Maksudnya perbuatan meninggikan suara, menjerit tak tentu pasal ketika bercakap, mudah menengking ketika memberi arahan bukan ajaran Islam. Justeru Islam menganjurkan agar diperelokkan suara ketika bercakap.
Maka walau apa pun jawatan kita sama ada KERANI BESAR, Kerani KECIL, GURU Besar, Guru Kecil atau apa-apa sahaja … tak kira apa kedudukan kita… yang penting sesiapa pun apabila dilontarkan suatu pertanyaan maka jawablah secara jujur dan Islam.
Ini bermakna Jawatan yang tinggi tidak melepaskan tanggungjawab untuk bercakap asal cakap atau untuk melepas batuk sahaja atau sebagai menyindir sehingga
timbul perasaan riak yang sangat-sangat menyimpang daripada adab-adab bercakap di dalam Islam. Ingatlah sekiranya kita bercakap dengan kaum muslimin bermakna mereka adalah salah seorang kalangan saudara kita di dalam Islam. Kalau kita mengaku yang diri kita Islam. Kalau sebaliknya maka tak termasuklah di dalam perbincangan ini.
Sesuai dengan firman Allah SWT:
Yang maksudnya:
“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini”
(al-Furqan: 63).
Ditambah pula dengan definisi hakikat seorang yang digelar muslim oleh Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Orang Islam ialah mereka yang menyelamatkan muslim yang lain dari (kejahatan) lidahnya dan tangannya”.
Tetapi bukan pula Islam menyuruh kita bercakap terlampau perlahan sehingga menyusahkan pendengar. Bercakap biar jelas dan bukan jerit.
2 Rabiul Awal 1433 H
Renungilah diri kita wahai para sahabat. Bagaimana suara kita ketika bercakap dengan ibu-bapa, guru-guru, anak-anak, dan sahabat-sahabat kita, bahkan kepada anak-anak buah kita atau staf-staf di dalam pejabat. Bukankah kadang-kadang kita terjerit-jerit, tengking menengking ketika berhadapan dengan mereka seolah-olah hebatnya kita berbanding dengan mereka. Sesungguhnya salah satu tanda takabburnya seseorang itu ialah suka meninggikan suara ketika bercakap. Oleh sebab itu Imam Al-Qurtubi Rahimahullah memberi pemahaman umum kepada ayat ini iaitu bersifat tawadhu’ ketika berjalan dan bersuara.
3) Suara keldai dipilih bagi menggambarkan betapa hinanya suara seseorang yang meninggikan suaranya. Sudah menjadi amalan Arab Jahiliyah menurut Imam Al-Qurtubi Rahimahullah dalam tafsirnya bahawa mereka sangat berbangga dengan suara yang kuat kerana “Suara yang kuat melambangkan kehebatan (‘izzah) manakala suara perlahan melambangkan kehinaan (azal)”. Jadi Allah SWT menghina mereka dengan mentamsilkan suara yang keras itu dengan suara keldai. Ibn Jawzi dalam tafsirnya menukilkan kata-kata Abu Zaid yang menyatakan bahawa: Sekiranya meninggikan suara itu
ada kebaikan nescaya tidak akan dijadikan suara keras itu bagi keldai-keldai. Memang kalau kita lihat keldai suaranya selalu keras dan tinggi. Kita sendiri kadang-kadang geli hati mendengarnya. Terdapat hadith sahih yang dinukil oleh Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya yang bermaksud: “Jika kamu terdengar suara keldai maka mohonlah perlindungan kepada Allah SWT daripada (kejahatan) syaitan kerana sesungguhnya keldai itu telah melihat syaitan”.
Dengan kata lain, Nabi SAW berbicara dengan jujur dan benar. Baginda pernah mengingatkan kepada umatnya yang bermaksud: “Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah ia berbicara sesuatu yang baik atau ia diam”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
- Keduanya, perbuatannya, ini kerana perkataan dengan perbuatan Rasulullah SAW amat serasi. Ertinya Baginda tidak hanya sekadar pandai bercakap tetapi juga pandai melaksanakan.
Jika Baginda menyuruh orang berbuat baik, Baginda yang akan memulakan terlebih dulu. Apabila melarang sesuatu, Baginda juga tidak akan melakukannya. Bukan hanya sekadar melarang orang lain, tetapi lebih dulu melarang dirinya sendiri.
Bahkan dalam banyak hal, Rasulullah SAW melakukan perkara itu terlebih dulu sebelum menyuruh orang lain melakukannya. Contohnya solat. Baginda solat dulu, kemudian baru berkata yang maksudnya: “Sembahyang kamu semua sebagaimana kamu melihat aku sembahyang”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Namun di hari ini kebanyakan orang-orang yang bergelar “KETUA” organisasi samada parti siasah, jabatan atau agensi kerajaan bahkan di peringkat negeri, daerah, mukim, kampung mahu pun peringkat kumpulan kecilan. Ketua dilihat tidak melakukan ini semua. Mohon maaflah kepada semua pihak! Kalau benar yang diperkatakan ini maka marilah kita berubah. Kalau sebaliknya sememangnya tuan-tuanlah orangnya yang hebat dan patut dicontohi oleh orang lain. Diambil contoh program membudayakan Al-Quran. Seringkali dilihat anak-anak buah memimpin bacaan setiap kali program, sepatutnya Ketua yang memimpin. Jarang-jarang KETUA hendak menjadi contoh kepada yang dipimpin. Sangat banyak alasannya seperti “nanti salah baca berdosa” atau mengaku “tak pandai baca Al-Quran” secara terangan atau "aku bosslah", itu dan ini... dan bermacam-macam alasan lagi. Jelas jika ini masih berlaku maka secara terang-terangan maka pendapat dan pemikiran kita itu amat bercangah dengan kehendak Islam. Lebih-lebih lagi ditambah dengan perasaan dan kata-kata tidak hormat-menghormati: yang muda sepatutnya hormat kepada yang tua, begitulah sebaliknya. Ingatlah, hari tua adalah masa depan kita semua...Jika keadaan ini masih berterusan, maka ISLAM dan MUKMINkah kita? Tepuk dada tanya Iman kita…. Marilah kita menjadi Islam yang sebenarnya. Bangun pagi kita Islam, cara kerja kita Islam, cara bercakap kita Islam, makan kita Islam, perbuatan kita sentiasa Islam, senyum kita sentiasa Islam, tidur atau apa-apa sahaja… segala-galanya ISLAM.
- Ketiganya, akhlak dan
tingkah lakunya Rasulullah SAW mendapat pujian daripada Allah menerusi firman-Nya:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) memiliki akhlak yang mulia”
(Surah al-Qalam, ayat 4)
Oleh itu, apabila kita pelajari akhlak Nabi SAW sebagai pemimpin, ketua negara, panglima, suami atau teman bicara, maka seharusnya kita berusaha mempraktikkannya dalam kehidupan, baik kehidupan peribadi mahupun dalam bermasyarakat.
Demikianlah lahirnya kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW. Sesiapa yang mencintai Nabi Muhammad SAW pasti akan mendapat tempat di dalam Syurga yang penuh nikmat.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku maka sesungguhnya ia mencintaiku, dan sesiapa yang mencintaiku, maka nanti ia bersamaku di dalam syurga”
Ajaran yang dibawanya oleh nabi terakhir (Nabi Muhammad SAW) bersifat menyeluruh. Berbeza dengan rasul terdahulu, mereka diutuskan untuk golongan, umat serta jangka waktu tertentu dan ajaran yang tidak menyeluruh.
Rasul terdahulu menyeru dengan kalimat ˜Ya Qaumiâ” yang bererti ˜Wahai kaumku” . Adapun Nabi Muhammad SAW ketika mulai menyebarkan Islam, diperintahkan Allah SWT supaya menyeru dengan kalimat ˜Ya Ayyuhannas” yang bererti ˜Wahai manusia”
Allah berfirman:
قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا
Yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) wahai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua”
(Surah al-A’raf : ayat 158)
Jelaslah bahawa kerasulan Nabi Muhammad SAW bersifat universal. Ajaran yang dibawa sesuai sepanjang masa, tempat dan keadaan. Kelahiran Baginda sebagai rasul terakhir adalah anugerah Allah SWT yang tinggi nilainya sebagai rahmat semesta alam.
Akhir sekali marilah kita renung-renungkan kata-kata oleh saudara kita iaitu Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Fadhilah Kamsah, seorang pakar motivasi yang disukai ramai. Beliau telah membuat kajian dengan jayanya dengan menyimpulkan bahawa:
Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati:
1. Dirikan solat dan banyakkan berdo’a – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo’a turut katakan “Ya, Allah jadikan hatiku sentiasa bersih.”
2. Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 x sebelum tidur – Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Di samping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.
3. Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.
4. Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa,penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah “Qulhu-allah” (Surah Ikhlas) sebanyak 3X.
5. Berma’af-ma’ afan sesama kawan setiap hari – Semasa meminta maaf perlu sebutkan. (Tuan-tuan berani sebutkan kesalahan tuan. Jika berani, tuanlah telah mendapat hidayah dan keberkatan hidup).
6. Bisikan kepada diri perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakanlah “Aku sebenarnya.. ….(perkara yang elok-elok belaka).
7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati “Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif”. Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya – CUBALAH!!
8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.
9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa, kerana Allah Maha Kuasa terhadap kita).
10. Kekalkan wuduk.
11. Bersedekah.
12. Belanja orang makan.
13. Jaga makanan – jangan makan makanan yang subhat.
14. Berkawan dengan ulamak.
15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi).
16. Menutup aurat mengikut Islam yang sebenar terutama wanita, bersegera dalam solat dan sebagainya.
17. Pesan pada orang, jadi baik.
18. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut…dan sebagainya), jangan dengar orang mengumpat.
Mudah-mudahan dengan ingat-mengingatkan perkara di atas, hendaknya akan menjadi suatu bekalan dan panduan kepada kita semua dalam mengharungi hidup ini. Dunia ini adalah tempat pinjaman untuk sementara, akhirat jualah yang kekal untuk selama-lamanya. Sesungguhnya Allah SWT telah mengingatkan seluruh umat manusia dengan bersumpah di dalam Surah Al-Asr dengan FirmanNya:
Yang bermaksud:
"Demi masa. Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran".
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment