Abi Bakrah radhiallahu 'anh berkata, Nabi shallallahu 'alaihi wasallampernah bertanya tiga kali yang maksudnya:
“Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?”
Mereka (para sahabat) menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah!”
Baginda menjelaskan: Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan, bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.[1]
Derhaka kepada ibu adalah lebih berat dosanya, berdasarkan sebuah hadis lain dimana Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam mengkhususkan larangan berbuat derhaka kepada seorang ibu yang maksudnya:
Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian berbuat derhaka kepada ibu, meminta sesuatu yang bukan haknya dan menanam bayi perempuan hidup-hidup. Dan (Allah) membenci kalian menyebarkan gosip, banyak bertanya dan mensia-siakan harta.[2]
Yang dimaksudkan dengan derhaka adalah apa sahaja perbuatan yang bertentang dengan berbuat baik danihsan. Antaranya, meninggikan suara, menggunakan perkataan yang kasar, sinis dan menyinggung perasaan, tidak memenuhi permintaan mereka (selagi mana ia bukan sesuatu yang bertentangan secara jelas dengan syari‘at Islam) dan membiarkan mereka dalam keadaan memerlukan bantuan, sama ada dalam bentuk rohani atau jasmani. Seorang ibu yang menangis dan seorang ayah yang termenung dalam konteks berinteraksi dengan anak lazimnya adalah isyarat bahawa mereka telah diderhakai.
‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma pernah menerangkan bahawa dosa-dosa terbesar ada sembilan, iaitu:
Mempersekutukan Allah, membunuh orang lain (tanpa hak), melarikan diri daripada pertempuran, memfitnah seorang wanita (dengan tuduhan zina), memakan riba’, memakan harta anak yatim, berbuat maksiat dalam masjid, menghinaibubapa dan (menyebabkan) ibubapa menangis disebabkan kederhakaan (anak kepada mereka berdua).[3]
Ibu dikhususkan daripada ayah kerana lazimnya kita sebagai anak-anak lebih berani bertindak derhaka kepada ibu berbanding ayah. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian kita tidak menghormatinya, lantas berani bersikap derhaka kepadanya. Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallammemberi amaran khusus kepada kita berkenaan ibu kita, bahawa janganlah menderhakainya.
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2654 (Kitab al-Syahadat, Bab apa yang diperkata berkenaan sumpah palsu).
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5975 (Kitab al-Adab, Bab derhaka kepada ibubapa termasuk dosa besar).
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 8 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 2898
No comments:
Post a Comment