PERGI HAJI : MASIH BERHUTANG dan SECARA HUTANG


Ada kedengaran mengenai beberapa saranan kerajaan dan beberapa buah institusi kewangan Islam untuk sama ada memberikan pinjaman tanpa faedah (Qardhul-Hasan) atau pun pembiayaan secara Islam bagi mereka yang ingin mengerjakan fardhu Haji atau Umrah.

Selain itu juga, timbul banyak persoalan seperti sama ada individu yang sedang menanggung hutang wajib atau wajar menunaikan haji.


Persoalannya: Pertama, Adakah pembayaran hutang perlu didahulukan dari menjadi tetamu Allah di Baitullah al-Haram? Keduanya, bagaimana jika hutang untuk tempoh yang panjang? Selain itu adakah wajar pula berhutang untuk menunaikan haji?




Artikel ini adalah untuk menjelaskan isu ini secara padat dan ringkas serta tidak terlalu berat dengan hujjah ilmiah.
Pertamanya elok jika kita melihat kepada firman Allah dari ayat :-
وَلِلّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً

Ertinya : ".. mengerjakan Haji adalah kewajiban manusia kepada Allah swt iaitu (bagi) orang yang berkemampuan dan sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah;.." ( Al-Imran : 97 )




Para ulama sepakat menyatakan hukum wajib tidak akan tertanggung ke atas seseorang lelaki dan wanita selagi syarat "istita'ah" atau ‘kemampuan' belum diperolehi.



Pengertian istita'ah secara mudah lagi ringkas, adalah SEBAGAIMANA YANG DINYATAKAN OLEH NABI s.a.w ketika ditanya akan ertinya, baginda Nabi s.a.w menjelaskan :




الزاد والراحلة
Ertinya : Bekalan dan pengangkutan perjalanan ( Riwayat At-Tirmidzi; berkata At-Tirmidzi & An-Nawawi : Hadis Hasan : Al-Majmu', 7/41 [1])


Jelas dari hadis yang memperincikan erti istita'ah di atas, terdapat dua perkara utama iaitu :-
1- Bekalan
Erti bekalan di sini adalah bekalan makanan, minuman dan pakaian yang mencukupi sepanjang pemergiannya sehinggalah kepulangannya. ( I'anah At-Tolibin, 2/281 ; Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/316). Dalam hal ini boleh dimaksudkan sebagai untuk diri ke tanah suci dan untuk keluarga tanggungan yang ditinggalkan.
2- Kenderaan dan Perjalanan
Kenderaan dan perjalanan mestilah sesuai dan diyakini keselamatannya (aman jalan), kenderaan pula mestilah diperolehi sama ada dengan membelinya atau menyewa. ( Al-Mughni, Ibn Qudamah)


DUA ISU UTAMA
Dua bekalan yang perlu untuk syarat kewajiban haji adalah jelas, namun bagaimana dengan isu yang ingin kita bincangkan? Ia seperti berikut :-


a) Berhutang melalui pembiayaan Islam untuk menunaikan haji

Berhutang untuk menunaikan Haji jika dilihat dari satu sudut, ia seolah-olah menunjukkan ketidakmampuan seseorang atau belum mempunyai kelayakan dan bekalan mencukupi untuk menunaikan ibadah Haji.
Dari sudut yang lain pula, ia mungkin juga boleh menunjukkan status kemampuan, cuma kemampuan itu memerlukan sedikit masa, maka untuk mempercepatkan status ‘mampu', ia membuat pinjaman.
Jika itu dua kemungkinannya, adakah seseorang dituntut untuk meminjam semata-mata untuk tujuan Haji.? Apatah lagi pembiayaan dari Institusi Kewangan yang akan menyebabkan kos yang lebih tinggi dari harga asal kos Haji.
Jawab ringkasnya TIDAK PERLU dan ianya BUKAN PRIORITY. Ini merujuk kepada jawapan ringkas yang diberikan oleh Nabi S.A.W apabila ditanya oleh seorang sahabatnya Abdullah Bin Abi Awfa:

سألته عن الرجل لم يحج أيستقرض للحج ؟ قال : لا
Ertinya : "Aku bertanya kepada Nabi s.a.w berkenaan seorang lelaki yang belum menunaikan Haji, adakah boleh ia meminjam wang untuk Haji? , jawab Nabi : TIDAK" (Musnad As-Syafie ; 1/109 ; Al-Um, 2/116 )
Imam Asy-Syafie berkata berselepas itu :
ومن لم يكن في ماله سعة يحج بها من غير أن يستقرض فهو لا يجد السبيل
Ertinya : Barangsiapa yang tidak mempunyai kemudahan, keluasan (lebihan) harta yang membolehkannya menunaikan haji tanpa membuat pinjaman, ketika itu DIA DIANGGAP TIDAK BERKELAYAKAN ( TIADA BEKALAN) UNTUK PERGI HAJI" ( Al-Umm, 2/116)
Islam tidak memberatkan kecuali kepada mereka yang benar-benar sudah sampai kemampuan dan bukan kemampuan yang dipaksa-paksa sebelum tiba saatnya.

Imam Ibn Qudamah menjelaskan bahawa para ulama hampir sepakat menyatakan bahawa belanja bekalan itu mestilah :-
أن يكون هذا فاضلا عما يحتاج إليه لنفقة عياله الذين تلزمه مئونتهم في مضيه ورجوعه لأن النفقة تتعلق بها حقوق الآدميين , وهم أحوج وحقهم آكد...وأن يكون فاضلا عن قضاء دينه
Ertinya : Dan hendaklah (bekalan ini) adalah harta yang lebih dari apa yang wajib ke atas tanggungjawabnya dari nafqah keluarga yang wajib disediakannya semasa pergi dan kembalinya, ini adalah kerana nafqah berkait dengan hak manusia, dan ia adalah lebih perlu dan diutamakan ( dalam hal ini dari Haji yang merupakan Hak Allah semata-mata),...selain itu mestilah bekalan ia dari harta yang 
lebih dari mencukupi untuk melunaskan hutangnya. ( Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/317)


Namun demikian, jika hutang baru itu TIDAK menjejaskan keseluruhan tanggungjawab (kewajiban) hartanya kepada yang berhak (seperti anak dan isteri), kerana ia mempunyai simpanan yang mencukupi atau harta lain (dalam bentuk hartanah atau lain-lain) yang boleh dijual apabila perlu, tatkala itu, TINDAKAN BERHUTANG TADI BOLEH MENJADI HARUS. Sebagaimana kata Imam As-Syafie :
ولكن إن كان ذا عرض كثير فعليه أن يبيع بعض عرضه أو الاستدانة فيه

Ertinya : "Tetapi jika ia mempunyai harta yang banyak, bolehlah ia menjual sebahagiannya atau berhutang (kerana yakin boleh membayar balik hutang kerana mempunyai harta bukan dalam bentuk wang tunai )" 
( Al-Umm, 2/116)


Justeru itu, sekiranya pihak kerajaan ingin mengeluarkan khidmat pembiayaan Islam bagi mereka yang berhasrat menunaikan Haji, seluruh pertimbangan ini mestilah diberikan dan disemak kepada pemohon sebelum kelulusan diberi, agar khidmat yang bertujuan baik oleh kerajaan tidak tersilap sasaran sehingga membawa mudarat kepada individu yang kurang berkemampuan, lalu menjerumuskan mereka di dalam perkara haram.


Kerajaan Malaysia diketahui ‘cuba' berpegang dengan mazhab Syafie dalam banyak pendapat Fiqhnya, justeru dalam hal ini Imam Syafie sendiri telah meriwayatkan hadis berkenaan larangan meminjam untuk menunaikan haji. Maka jika ulamak rasmi kerajaan ingin mengambil pendapat lain, maka perlulah berhati-hati serta menilai syarat-syaratnya dan dengan tidak secara tergesa-gesa di dalam memberikan jawapan dan pendapat sehingga 'bakal siberhutang' terjerat dengan kata-kata pendapat dan jawapan yang 'manis' itu yang akhirnya menyusahkan kerana sememangnya telah pun diketahui bahawa sipeminjam memang termasuk dalam golongan "tidak berkemampuan".



Apatah lagi seandainya pergi berhaji (atau berumrah) dengan menggunakan wang pinjaman dari bank konvensional meskipun dirinya mampu untuk melunasinya dengan cara membayar balik sedikit demi sedikit  maka tetap tidak diperbolehkan baginya kerana beberapa hal seperti berikut :
1. Larangan bagi setiap muslim untuk melakukan cara pinjam meminjam dengan jalan riba' sebagaimana yang berlaku  di bank-bank konvensional masa kini kerana  hal itu termasuk di dalam perbuatan yang diharamkan yang merupakan salah satu dari dosa besar.
Firman Allah swt :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿٢٧٨﴾
فَإِن لَّمْ تَفْعَلُواْ فَأْذَنُواْ بِحَرْبٍ مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُؤُوسُ أَمْوَالِكُمْ لاَ تَظْلِمُونَ وَلاَ تُظْلَمُونَ ﴿٢٧٩﴾

Mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba' (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak meninggalkannya (meninggalkan sisa riba'), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi mu. dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba'), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak Menganiayai dan tidak (pula) dianiaya.”                                                                   (Surah  Al Baqarah : Ayat 278 – 279)
Diriwayatkan oleh Muslim dari Jabir bin Abdullah bahwa Rasulullah SAW melaknat para pemakan riba', orang yang memberikannya, orang yang menulisnya dan kedua orang yang menyaksikannya. Dan Rasulullah SAW bersabda, ”Semuanya sama.”
Mereka semua berdosa disebabkan perbuatan mereka termasuk saling tolong menolong di dalam melakukan maksiat dan dosa.


b) Hutang dengan orang belum selesai tetapi ingin pulak menunaikan haji.
Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan bahawa seseorang yang masih tersangkut dengan bebanan hutang TIDAK WAJIB untuk menunaikan haji. Sebagai yang dijelaskan di atas, ulama sependapat bahawa ‘bekalan' yang dimaksudkan oleh Nabi adalah lebihan harta berbanding tanggungan asasinya, justeru hutangnya terhadap individu perseorangan adalah termasuk dalam tanggungjawab asasinya seperti juga nafqah wajib.

Selain itu, hutang individu perseorangan yang bersifat jangka pendek MESTILAH dan hendaklah diselesaikan sebelum pergi menunaikan Haji. Sebagai contoh, adanya individu yang masih berhutang dengan kawan-kawan (individu) sebanyak RM30,000 atau sebagainya dan berjanji untuk menjelaskannya, sedangkan janji pelunasan hutang sudah terlewat sekitar  beberapa ketika, setahun atau sebagainya. Maka kesannya, individu ini tidak layak menunaikan haji kecuali individu itu telah melunaskan hutang yang telah dimungkiri tempohnya terlebih dahulu,


ATAU,  sebagai pilihan lain, menjadi  WAJIB ke atas dirinya meminta izin (tidak boleh tidak) daripada pemberi hutang individu sebelum bertolak ke Tanah Suci untuk pergi menunaikan Haji. Tujuannya adalah agar pemberi hutang itu boleh redha akan pemergian siberhutang, jika sesuatu berlaku kepada siberhutang sewaktu di tanah suci (meninggal dunia)  lalu samada menghalalkan hutang berbaki atau menuntut baki hutang daripada waris keluarganya. Tanpa izin pemberi hutang itu, maka tidak seharusnya pergi menunaikan Haji kerana dikhuatiri tidak mendapat apa-apa mengenai pekerjaan haji dan umrahnya, sekadar memperoleh 'Haji Maqbul ' (hanya menyempurnakan rukun Islam ke-5 tetapi tidak diberikan sebarang ganjaran pahala) kerana pergi hanya untuk menunaikan Rukun Islam yang ke-5 sahaja tanpa keikhlasan diri apatah lagi untuk berserah diri kepada Allah SWT. 

Sabda Nabi SAW :


من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله

Mafhumnya : 
Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, 
Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )


 Jika nak dikatakan 'Haji Mardud  '(haji yang tidak diterima atau tidak sah) bunyinya agak keterlaluan, namun diri dan iman kita sendiri yang layak menilai mengenai syarat 'kemampuan' yang ada pada diri kita, atas tanggungjawab yang belum diselesaikan, dengan persoalan wajib atau larangan ke atas diri untuk menunaikan fardhu haji, sesungguhnya Allah SWT Yang Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu. Wallahu a'lam.

HUTANG DENGAN INSTITUSI KEWANGAN

Namun demikian, terdapat perbezaan di antara hutang individu dengan hutang Institusi Kewangan yang berpanjangan selama bertahun-tahun malah ada yang mencecah 30 tahun seperti pembiayaan rumah.
Bagaimana pula seperti kes pembiayaan tersusun kepada institusi kewangan, terutamanya bagi mereka yang mengamalkan pembayaran melalui pemotongan gaji.

Benar, (cara) hutang dari jenis ini TIDAK menjejaskan kelayakan mereka untuk menunaikan Haji DENGAN SYARAT, pemergiannya ke Haji tadi TIDAK AKAN membawa masalah kepada pembayaran hutang sistematik kepada institusi kewangan tadi.


Jika diyakini pemergiannya ke Mekah, mungkin boleh menyebabkan terjejasnya kedudukan kewangannya sehingga diyakini boleh menjejaskan tanggungjawab wajibnya seperti nafqah, dan hutang wajib dibayar kepada institusi kewangan. Maka tatkala itu, TIDAK WAJAR baginya untuk menunaikan Haji malah pemergiannya boleh membawa kepada HARAM, ini kerana telah sedia maklum bahawa apa-apa yang diyakini membawa kepada haram, maka hukumnya juga jatuh HARAM.

Disebutkan oleh para ulama Islam satu kaedah yang dipetik dari dalil-dalil al-Quran dan hadis :-
يؤدي إلى الحرام فهو حرام  ما

 Ertinya : Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adaah haram ( Majma Al-Anhar, 4/251 ; Rujuk perincian dalam ‘Ilam Al-Muwaqqi'ien, Ibn Qayyim, 3


Ia juga boleh difahami daripada Firman Allah SWT yang mengharamkan segala bentuk dan jenis permulaan kepada zina. Bermakna, bukan hanya zina sahaja yang haram, segala bentuk tindakan dan perilaku yang boleh membawa zina juga adalah haram seperti peluk, cium, renungan mata, chat bersyahwat, telefon bersyahwat dan lain-lain.


Demikian juga halnya haji dengan keyakinan membawa mudarat kepada hak pemilik hutang dari kalangan individu mahu pun institusi kewangan.


KESIMPULAN

Tiada jawapan satu baris bagi kedua persoalan di atas kecuali perincian dan semakan terhadap kemampuan individu dan kiraan semula nafqah wajibnya. Hanya selepas itu baru dapat dipastikan sama ada berhutang untuk menunaikan Haji dibolehkan atau sebaliknya.
Demikian juga halnya bagi mereka yang sedang terikat dengan hutang, perlu ditinjau jenis hutang dari pelbagai aspek dan hanya selepas itu boleh ditentukan sama ada individu ini boleh menunaikan Haji. Tanpa penilaian yang tepat, seseorang itu mungkin sahaja pergi Haji dengan dosa kerana mengabaikan hak individu lain yang lebih berhak ditunai segera. Oleh itu sesiapa sahaja ummat Islam yang ingin menyempurnakan Rukun Islam Ke-5 maka perlu diusahakanlah perbelanjaannya dengan yang betul, halal dan baik mudah-mudahan memperolehi " Haji Yang Mabrur" yang ganjarannya adalah Syurga Allah SWT, Insya'allah.

Wallahua'lam
00000000000000

No comments:

Post a Comment