Berapa kali MALAIKAT MAUT MEMERHATI?...




BETAPA Kerapnya Malaikat Maut Melihat dan merenung wajah kita dalam masa 24 jamh sebanyak 70 kali... Andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya mereka tidak akan lalai mengingati mati. Akan tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk yang gha'ib, manusia tidak dapat melihat akan kehadirannya, sebab itu mereka tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail itu.





Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih terus-menerus bersenang-lenang sambil  bergelak-ketawa,    berkaraoke bahkan menyanyi di sana-sini di hadapan khalayak ramai terbuka bercampur antara lelaki dan perempuan. Tidak kurang juga 'Penasihat-penasihat' yang muncul kerana mahu atau dahagakan jawatan 'ketua', di mana mereka-mereka ini bijak dalam memberikan kata nasihat berdasarkan 'logik akal' semata-mata, tetapi tidak bersandarkan nas Al-Qur'an mahupun Al-Hadith Rasulullah Sallahu 'Alaihi Wasohbihi Wasallam.  Nasihat yang hamburkan tidak diikuti olehnya hanya nasihat sekadar ditujukan kepada orang yang dipimpinnya.


'gambar hiasan: ... berkaraoke'

Begitu juga yang suka melemparkan kemarahan nafsu 'amarahnya' orang yang dipimpinnya dengan sesuka hati, atau sesiapa sahaja agar kemarahannya sebagai alat untuk ditakuti atau digeruni bahkan untuk dihormati atau untuk menunjukkan 'kedudukan' dan 'kuasa' yang ada. Sekiranya pernah berlaku pada diri kita, marilah kita ubah cara dan nafsu yang digalas syaitan laknatullah itu dan janganlah diteruskan. Marilah pelajari cara-cara kehidupan yang murni ke arah kehidupan yang disenangi oleh insan-insan Allah SWT yang lain sebelum maut menjemput kita.  Marilah sayangi semua muslimin dan muslimat tidak mengira kedudukan dan pangkat sebagaimana kita menyayangi diri kita sendiri.


Daripada Anas r.a Nabi Sallallahu'alaihi Wasohbisi Wasallam yang bermaksud:
"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya 
sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."

Sesungguhnya semua mahluk yang diberi pinjam nyawa dan akal di muka bumi ini adalah "hamba Allah SWT semata-mata", yang memisahkan tinggi martabat dan kedudukan di sisi Allah SWT ialah nilai 'amalan dan ibadah yang dilakukan dan yang diterima oleh Allah SWT. Kita perlulah ingat dan khuatir akan menjadi seorang yang fakir-miskin akan amal kebajikan dan tidak memiliki bekalan amal ibadah yang diterima untuk di akhirat nanti, ttapi apa yang ada hanyalah 'dosa' yang tidak terampun akibat mengumpat, mengata, mencerca dan perkara-perkara nista yang seumpamanya, na'uzubillahhiminzaliq. Mudah-mudahan Allah SWT dan semua ummat muslimin mengampuni kita.


Sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
"Bahawa Malaikat Maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali 
dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, 
didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. 
Maka berkata Izrail : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, 
sedangkan aku diutus oleh Allah Ta'ala untuk mencabut nyawanya, 
tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa."


Manusia memang tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh Malaikat Maut itu, kecuali orang-orang yang soleh yang sentiasa mengingati kematian yang akan tiba pada bila-bila masa walaupun di dalam keadaan sihat wal-'afiat. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar akan kehadiran Malaikat Maut itu, kerana mereka sentiasa ingatkan Allah dan Rasul-Nya. Apatah lagi jika sering menatap hadis-hadis Nabi SAW yang menjelaskan perkara-perkara gho'ib, terutama mengenai hal-hal kematian dan hubungan kaitnya dengan Malaikat Maut itu.

Meski pun mata manusia hanya mampu melihat benda yang nyata, namun manusia tidak mungkin dapat melihat kehadiran Malaikat Maut itu. Namun pandangan mata hati, mereka mampu melihat alam ghaib itu dengan memandang dan berkeyakinan berdasarkan iman dan ilmu yang ada di dalam dada.

Sebenarnya manusia sememangnya sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, apatah lagi bagi ummat Islam. Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya:
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

(Surah Ali'-Imran: Ayat 185)



  Tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggap kematian itu adalah suatu tabi'e biasa sebagai pendapat golongan athies, dan tidak kurang pula yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang zahir sahaja. Dengan mengambil pendapat logik akal, banyak kematian akan disebabkan oleh sesuatu 'tragedi', seperti akibat oleh peperangan, bencana alam  -  banjir, gempa bumi, kebakaran dan sebagainya, dan juga kemalangan samada di udara, laut dan daratan termasuklah kemalangan jalan raya.
            ' gambar hiasan: kemalangan jalanraya'

Selain itu, manusia juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, ta'un dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang tersebut di atas sahaja. Jika berlaku kematian salah seorang di kalangan mereka, lantas mereka bertanya, sebab apa si fulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah?

Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran Malaikat Maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan Malaikat Maut sentiasa berlegar di sekeliling manusia, mengenal-pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya akan tamat.

Sesungguhnya Malaikat Maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail a.s akan mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.

Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat Maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak akan tertangguh walau pun sesaat.

Walau bagaimanapun, ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi sesuatu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar, kerana Allah Ta'ala memberi peluang dan menyedarkan manusia itu agar dia bersegera mengingati mati, untuk itu dia perlu menggunakan masa atau usia yang ada berbaki lagi untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat daripada dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, supaya jangan sampai menjadi orang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, sewajarnya menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang-orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa berwaspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa kesesalan yang amat tidak berguna.

Di kalangan 'suhada' dan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan meraka, jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, oleh sebab itulah Allah SWT tidak memberi amaran terlebih dahulu kepadanya. 

Selain itu, Allah Ta'ala menjadikan sebab musabab kematian itu sebagai memenuhi janji-Nya kepada Malaikat Maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah Hadis Nabi SAW yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah SWT iaitu para Rasul, nabi-nabi, wali-wali dan orang-orang solihin.

Selain itu juga, Malaikat Maut mengadu kepada Allah Ta'ala betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam a.s, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak-saudara dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai-bagai sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam a.s sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlakunya kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana mengidap sakit, ataupun kerana kecelakaan atau kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan Malaikat Maut dengan kematian yang telah berlaku itu.

Ketika itu, Izrail a.s tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran Malaikat Maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah pun tiba.

Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah SWT, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah SWT, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Malaikat Izrail a.s hanyalah tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya.




Walau bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu samada bersebab ataupun tidak, sebagai mana yang dinyatakan pada awal tulisan ini bahawa ada ketikanya Malaikat Maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi Malaikat Maut sedang dalam keadaan seronok bergelak-ketawa dan sebagainya, sehingga Malaikat Maut merasa hairan terhadap manusia itu.

Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal samada seseorang itu sedang sakit atau pun ketika sihat dan segar-bugar.


Firman Allah Ta'ala :
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat ( pula ) mempercepatkannya."
( Surah Al-Araf ayat 34 )


Firman Allah Ta'ala:


وَلَوْ تَرَىٰ إِذْ يَتَوَفَّى الَّذِينَ كَفَرُوا ۙ الْمَلَائِكَةُ يَضْرِبُونَ وُجُوهَهُمْ وَأَدْبَارَهُمْ وَذُوقُوا عَذَابَ الْحَرِيقِ
Maksudnya:
Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): "Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar".
(Surah Al-Anfal (8): Ayat 50)

Firman Allah Ta'ala :


وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الظَّالِمُونَ فِي غَمَرَاتِ الْمَوْتِ وَالْمَلَائِكَةُ بَاسِطُو أَيْدِيهِمْ أَخْرِجُوا أَنفُسَكُمُ ۖ الْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ بِمَا كُنتُمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ غَيْرَ الْحَقِّ وَكُنتُمْ عَنْ آيَاتِهِ تَسْتَكْبِرُونَ

Maksudnya:
"... Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya."

(Surah Al- An'am : Ayat 93).


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sakitnya sakaratul maut itu, kira-kira tiga ratus kali sakitnya dipukul pedang". 
(H.R. Ibnu Abu Dunya).


Cara Malaikat Izrail a.s mencabut nyawa bergantung kepada amal perbuatan seseorang itu. Bila orang yang akan meninggal dunia itu tidak ta'at atau mendurhaka kepada Allah SWT, maka Malaikat Izrail a.s  akan mencabut nyawa dengan secara kasar. Sebaliknya pula bagi orang yang soleh, ta'at kepada perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW maka cara Malaikat Maut mencabut nyawanya adalah dengan lemah lembut dan dengan berhati-hati. Namun demikian peristiwa terpisahnya nyawa daripada raga tetap teramat menyakitkan.

Oleh itu marilah kita semua, sentiasa bersiap sedia dengan amal ma'aruf dengan berusaha menjauhkan amal nahi mungkar, sentiasa bertaubatlah atas kesalahan dan kesilapan yang berlaku bersandarkan kehidupan yang telah ditentukan menurut Al-Qur'an dan Al-Hadith yang ditinggalkan oleh junjungan besar Rasulullah SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita senentiasa mendapat keberkatan dan perlindungan Allah SWT dan apabila tiba masa kematian kelak, hendaknya roh kita akan dimuliakan dan disambut oleh barisan Malaikat yang sedang menunggunya, insyallah.

Namun bagi orang yang semasa hayatnya tidak ta'at dan menderhakai perintah Allah SWT, selain daripada rohnya dicabut dengan kasar, roh mereka akan dihina sehina-hinanya oleh barisan malaikat yang sedang menanti, na'uzubillahhiminzaliq.

000000000000


No comments:

Post a Comment