Marilah Fahami Maksud Sebenar MENUTUP AURAT



بسم الله  والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله
آله وصحبه ومن والاه  وعلى

  • (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)


    Marilah kita perhatikan dan hayati ayat Al-Qur'an sebagaimana berikut dan seboleh-bolehnya disematkan didalam hati sebagai suatu pedoman, panduan dan bekalan hidup kita seharian:

    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ


     وَالْحِجَارَةُ


    (Surah At-Tahrim: Ayat 6)

    Mahfumnya:

    "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)..."


    =========================================

    Untuk mendapatkannya, hubungi 019-3781353.


    =============================================


    Menutup aurat merupakan suatu kewajipan kita sebagaimana yang difardhukan yang sudah pun diketahui umum oleh semua umat Islam sama ada LELAKI mahu pun WANITA. Tuntutan menutup aurat itu sabit berdasarkan nas dan dalil-dalil daripada Al-Qur'an, Hadits dan kesepakatan para ulama (Ijma'). Aurat bagi lelaki ialah antara pusat hingga ke lutut, manakala aurat wanita ialah seluruh tubuh badan kecuali kedua-dua tapak tangan dan muka.




    Mafhumnya:
    "Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)"

                                                                                 (Surah Al-A'raf: Ayat 27)








    Marilah perhatian baik-baik apakah yang telah kita ikrarkan (doa Iftitah) semasa kita mendirikan solat. Apakah hanya dibibir sahaja, atau apakah kita tidak memahaminya. Jika kita tidak memahaminya marilah kita sama-sama melihat akan maknanya mengenai ikrar itu:

     إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
    لَا شَرِيكَ لَهُ  وَبِذَٰلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ

    Mafhumnya:
    Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku dan hidupku dan matiku semata-mata kerana Allah sekelian alam.  Tidak ada sekutu bagi-Nya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagi-Nya dan aku dari gologan orang Islam.  


    Persoalnnya, di mana diri kita sekarang ini? Apakah ikrar yang kita lafazkan itu hanya suatu permainan sahaja. Namun pernah kedengaran jika taatkan perintah Allah SWT itu 'hipokrit'. "Subhanallah". Marilah kita lintaskan pada hati kita kenapa kita dijadikan di muka bumi ini. Lihat  Firman Allah SWT dalam Surah az-Dzariat, ayat 56:


    Mafhumnya:
    'Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.'

    Ingatlah kita semua kita apabila sampai masanya akan kembali (mati) ke hadrat Allah SWT, maka amalanlah yang akan kita bawa.  Akan tetapi ramai umat Islam yang dilihat di sana sini sangat-sangat mengabaikan dan bersifat acuh tak acuh akan tuntutan dan kewajipan menutup aurat ini, baik lelaki mahu pun perempuan.

    gambar hiasan - dua contoh tidak menutup aurat

    Apa yang menyedihkan ialah cara atau trend oleh sebilangan individu, tidak menepati dengan cara yang telah digariskan oleh Syara'. Pakaian yang mereka pakai bukan untuk menutup aurat, sebaliknya hanya menampal sebagai perhiasan semata-mata agar dipandang cantik dan bergaya khususnya bagi perempuan.


    gambar hiasan - pakaian ketat menampakkan tubuh badan
    gambar hiasan - pakaian non muslim yang digemari
    sebahagian lelaki Islam


    Lebih mengecewakan lagi, bagi wanita, anggapan sesetengah individu itu bahawa memadai apabila dia memakai tudung sahaja, maka sudah bermakna dia telah menutup auratnya. Sedangkan pakaian yang dipakai nyata masih tidak menepati tuntutan menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘, seperti 


    memakai seluar yang ketat






    atau pakaian pendek, nipis (jarang) dan kain berbelah,  sama ada mereka sedari atau pun tidak bahawa pakaian yang mereka pakai itu adalah mengghairahkan.




    Bahkan cara bertudung pun masih menampakkan anggota aurat yang wajib ditutup atau disembunyikan.


    Ada pula yang memakai pakaian yang lengkap menutup aurat pada waktu-waktu tertentu sahaja, seperti ketika menghadiri majlis-majlis keagamaan dan kedukaan seperti kematian, tetapi tidak pada waktu-waktu lain. Sikap sebahagian sama ada muslim atau muslimah seumpama ini menunjukkan bahawa mereka belum memahami maksud sebenar menutup aurat itu dan bagaimana cara melaksanakannya sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.


    gambar hiasan - pakaian seperti ini disukai oleh lelaki

    bila tiba hari raya atau majlis-majlis tertentu sahaja.




    TUNTUTAN MENUTUP AURAT ADALAH PERINTAH 

    ALLAH SWT


    Allah SWT telah mewajibkan lelaki mahu pun perempuan untuk menutup aurat mereka dan menggariskan cara-cara menutup aurat itu. Tuntutan menutup aurat ini adalah perintah Allah SWT. Memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana yang digariskan oleh syara‘ bererti mentaati perintahNya. Bilamana menutup aurat merupakan suatu ketaatan, maka memakai pakaian yang mendedahkan aurat pula merupakan suatu kederhakaan.



    Tuntutan menutup aurat ini tidak boleh dipandang ringan. Ancaman dan balasan Allah SWT terhadap mereka yang tidak melaksanakan atau tidak memperdulikan tuntutan menutup aurat itu adalah sangat keras. Antara akibat melanggar tuntutan ini ialah laknat Allah SWT. Mereka yang melakukan penderhakaan terhadap perintahNya itu tidak akan masuk syurga, bahkan bau syurga pun tidak dapat dihidu oleh mereka, sebagaimana yang ditegaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:

    “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku 
    (Nabi Muhammad SAW) melihatnya, iaitu
    kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, 
    dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang 
    (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), 
    yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. 
    Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, 
    padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).”

    (Hadits Riwayat Muslim)

    gambar hiasan - Tidak kira lelaki mahu pun wanita

    kini dilihat suka tidak menutup aurat

    ketika bersukan




    Oleh itu, kita hendaklah mengenakan pakaian untuk menutup aurat sebagaimana yang disuruh syara‘ kerana mentaati perintah Allah SWT, bukannya kerana tuntutan fesyen semasa atau kesesuaian tempat dan keadaan. Jika berfesyen pun fesyen yang dikenakan hendaklah memenuhi tuntutan syara'. Jika bersukan pun pakaian sukan hendaklah disesuaikan dengan hukum syarak.







    MENUTUP AURAT NIKMAT ANUGERAH ALLAH SWT


    Allah SWT telah menurunkan bahan-bahan pakaian di muka bumi dan memberikan manusia keupayaan menghasilkan pakaian sebagaimana yang ditegaskan melalui firmanNya:



    يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ


    وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

    (Surah al-A‘raaf: Ayat 26)
     Mafhumnya:

    “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”.


    Ayat tersebut menjelaskan bahawa bahan pakaian yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya itu sebagai tanda-tanda limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya untuk menutup aurat mereka. Maka mereka yang mengabaikan kewajipan ini dengan mendedahkan aurat mereka adalah orang-orang yang tidak bersyukur dan tidak menghargai nikmat tersebut.


    Banyak kebaikan dan faedah yang boleh didapat daripada kewajipan menutup aurat ini. Islam tidak mensyariatkan sesuatu melainkan untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia itu sendiri. Tuntutan menutup aurat adalah untuk kebaikan bagi diri muslimin dan muslimat.


    Bagi kaum wanita, di antara rahsia atau faedah menutup aurat yang khusus sepertimana yang dijelaskan dalam Al-Qur'an ialah untuk mereka dikenal sebagai perempuan yang baik-baik dan dengan berpakaian sedemikian, maka mereka tidak akan diganggu. Secara tidak langsung pakaian yang menutup aurat dan sopan merupakan antara cara untuk menghindari fitnah, pandangan yang jahat atau berlakunya perkara yang buruk, umpamanya kes rogol dan sebagai-sebagainya.

    Oleh itu, kewajipan menutup aurat juga merupakan satu nikmat yang wajib disyukuri oleh kita semua, iaitu dengan cara melaksanakan kewajipan yang dikehendaki ini.



    BAGAIMANA CARA MENUTUP AURAT YANG 

    DITUNTUT OLEH SYARA'?


    Sebelum dijelaskan cara menutup aurat bagi wanita sebagaimana yang dituntut oleh syara‘, perlu disebut terlebih dahulu bagaimana aurat wanita itu di hadapan lelaki bukan mahramnya. Secara sepintas lalu bagi wanita, bagaimana aurat perempuan dalam sembahyang, maka itulah juga auratnya di luar sembahyang. Apa yang boleh nampak di hadapan orang-orang yang bukan mahramnya hanyalah kedua tapak tangan dan muka sahaja, manakala keseluruhan anggota badan yang lain merupakan aurat yang wajib ditutup.


    Cara berpakaian bagi perempuan yang sempurna menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki Syara‘ itu merujuk kepada Firman Allah Ta‘ala sebagaimana berikut:


    يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
    (Surah Al-Ahzab: 59)
    Mafhumnya:
    “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”


    Dalam ayat di atas itu telah jelas menyatakan bahawa pakaian yang dipakai ketika keluar itu hendaklah dalam keadaan labuh dan menutup seluruh tubuh pemakainya. Terdapat juga beberapa hadits yang menyebut tentang ciri-ciri pakaian yang dikehendaki oleh syara‘, umpamanya hadits yang diriwayatkan oleh ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha:

    Mafhumnya:
    “Bahawa Asma’ binti Abu Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan memakai pakaian yang nipis. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpaling daripadanya. Baginda bersabda: “Wahai Asma’, sesungguhnya orang perempuan apabila sampai umur haidh (umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini… dan ini... (sambil) Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda.” 
    (Hadits riwayat Abu Daud)


    Berdasarkan kepada dua dalil di atas, maka dijelaskan bahawa ciri-ciri pakaian menutup aurat yang dituntut oleh syara' bagi wanita itu adalah sebagaimana berikut:
    1. Pakaian yang longgar, bukan pakaian yang sempit yang menampakkan susuk dan bentuk tubuh badan;

    2. Pakaian yang labuh yang menutupi keseluruhan anggota aurat. Bukan pakaian yang pendek, singkat atau terbelah yang mendedahkan perut, dada, leher, tangan, kaki dan punggung;

    3. Pakaian yang menutup warna kulit anggota aurat daripada kelihatan. Bukan pakaian yang nipis atau jarang yang menampakkan warna kulit dan bayang-bayang tubuh dari luar.



    SEPINTAS LALU PAKAIAN MENUTUP AURAT 

    LELAKI DAN WANITA



    CARA BERTUDUNG MENGIKUT SYARA' BAGI 

    WANITA

    Antara pakaian yang digunakan untuk menutup aurat pada bahagian kepala seperti rambut, telinga dan sebagainya ialah menutup kepala dikenali sebagai tudung. Tudung kepala yang dituntut adalah sebagaimana berikut:

  • 1. Tudung itu menutupi seluruh kepala termasuk leher, kecuali kawasan muka. Bukanlah cara bertudung yang betul menurut syara‘ jika masih menampakkan rambut, leher, tengkuk, telinga, bahagian dada dan seumpamanya.  Manakala belahan baju letaknya di kawasan dada. Oleh yang demikian, tudung kepala hendaklah juga menutup atau menyembunyikan bahagian dada.




    Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:


    وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

    (Surah An-Nur:Ayat 31)



    Mafhumnya:

    Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; ...




    2. Tudung hendaklah diperbuat daripada kain atau bahan yang tebal yang menutupi warna kulit dan rambut daripada kelihatan. Bukan tudung yang jarang, nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat yang lain.





    Antara Ciri-ciri PAKAIAN YANG DILARANG Oleh 

    Syara'


    Selain daripada ciri menutup aurat, pakaian wanita yang dituntut oleh syara‘ hendaklah juga bukan pakaian yang khusus dipakai oleh kaum lelaki sahaja, umpamanya pakaian cara Melayu dan baju kemeja. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telahpun memberi peringatan sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:

    Mafhumnya:
    “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat lelaki yang memakai pakaian (cara) perempuan dan (melaknat) perempuan yang memakai pakaian (cara) lelaki.”
    (Hadits riwayat Abu Daud)


    Adapun maksud laknat itu ialah seseorang itu jauh dari rahmat dan belas kasihan Allah SWT. Apabila Allah SWT dan Rasulullah SAW melaknat ke atas seseorang itu, maka menunjukkan orang itu telah membuat suatu dosa besar dan menjadikannya seorang fasiq.


    Pakaian yang dituntut oleh syara‘ juga ialah pakaian yang bukan dipakai untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk, kerana memakai pakaian dengan tujuan sedemikian adalah dilarang dalam Islam sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:



    Mafhumnya:
    “Barangsiapa yang memakai pakaian yang megah ketika di dunia, maka Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan pada hari Qiamat, kemudian dinyalakan api di dalamnya (pakaian tersebut).”
    (Hadits riwayat Ibnu Majah)


    Kesedaran tentang tanggungjawab menutup aurat perlu bermula dari individu itu sendiri. Untuk menyuntik kesedaran ini, perlu ada kefahaman tentang maksud sebenar-benarnya menutup aurat. Apabila kaum wanita memahami maksud sebenarnya menutup aurat sebagai satu bentuk ketaatan kepada AllahSWT dan juga satu nikmat yang wajib dan perlu disyukuri dan dipelihara, mereka tidak akan bersikap mencuai-cuaikan dan menangguh-nangguhkan kewajipan ini atau memilih-milih waktu dan tempat untuk melaksanakannya.


    Sebaliknya mereka akan istiqamah dan bersungguh-sungguh melaksanakannya dengan memenuhi ciri-ciri pakaian sebagaimana yang dituntut oleh Syara‘. Termasuk dalam misi perlaksanaan perintah menutup aurat ini, para ibu-bapa, suami dan keluarga mesti turut berperanan malahan bertanggungjawab untuk mendidik, membimbing dan menasihati anak, isteri, ibu dan anggota keluarga yang lain supaya sentiasa melaksanakannya.

    Firman Allah SWT:


    وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ
    (Surah Asy-Syu‘ara’: 214)
    Mafhumnya:

    “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”



    Tanggungjawab dan kewajipan menyuruh menutup aurat itu tidak terkecuali digalas juga oleh ahli masyarakat. Sikap tegur-menegur dan saling menasihati adalah tuntutan agama Islam. Maka setiap seorang daripada kita juga bertanggungjawab dalam sama-sama menjauhkan perkara-perkara dosa dan maksiat. Perkara ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

    وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
    (Surah al-Ma’idah: 2)
    Mafhumnya:
    “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). ”



    Dengan kesedaran kaum Muslimin dan Muslimat sekelian tentang tanggungjawab dalam menunaikan kewajipan menutup aurat serta peranan yang dimainkan oleh semua pihak, akan terbentuklah masyarakat yang berpakaian benar-benar menepati kehendak syara‘.

    Mahukah anda digelar 'MUKMIN' atau setakat 'ISLAM SAHAJA'. Marilah kita semua berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Sesungguhnya "aurat wanita sangat mudah diperkatakan tetapi sukar untuk dilaksanakan, oleh yang demikian wanita yang menjaga aurat adalah merupakan wanita solehah, bagaikan berlian yang bersinar dan sukar didekati kerana duri yang melingkarinya. Maka balasan wanita yang menjaga auratnya adalah SYURGA".

    "Kepada semua pihak: Ketua-ketua Masyarakat di dalam organisasi sama ada awam (Kementerian, Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan) mahu pun swasta, PARTI-PARTI SIASAH, Ketua-ketua Kecil dalam masyarakat, Ketua-ketua Kampung, Imam-Imam, Pengetua-pengetua atau Guru-Guru Besar Sekolah, para ustaz dan ustazah, para-para suami dan setiap lelaki dan perempuan Islam yang kesemuanya telah diamanahkan untuk memakmurkan muka bumi ini maka hendaklah sentiasa dan sering (berulang-ulang kali tanpa ada perasaan jemu) menyeru, menegur bagi mempastikan anak-anak buah, kakitangan, saudara-mara, rakan dan taulan, jiran, ibu, isteri dan anak-anak lelaki dan perempuan menutup aurat dengan cara yang betul sebagaimana telah diperintah oleh Allah SWT. Kepada pelawat laman web ini sebar-sebarkanlah kepada umat Muhammad SAW dengan cara yang berhemah.

    Apabila hati kita ikhlas disulami dengan cara hidup mengikut hukum syarak, maka mudah-mudahan kita semua sentiasa mendapat keberkatan dan umur kehidupan kita sentiasa diredhai oleh Allah SWT.

    Wallahua'lam.




No comments:

Post a Comment