MENGERJAKAN IBADAH UMRAH



Perkataan "UMRAH", menurut bahasanya bererti 'meramaikan' dan 'memakmurkan' bagi tujuan berziarah atau berkunjung. Dari segi hukum syarak ialah mengunjungi Baitullah Al-Haram (Ka'abah) untuk mengerjakan ibadah tawaf, saie dengan sentiasa menjaga segala syarat-syarat wajib Umrah serta meninggalkan perkara yang dilarang semasa di dalam ihram.


Ibadah Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun jika tidak berada di dalam ihram Haji.




=============================================

Hubungi @ whatsApp 019-3781353
=====================================

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ
                                                                   (Surah Al-Baqarah: Ayat 196)
Mafhumnya:
Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah;

Ayat di atas bermaksud Allah SWT telah memfardhukan kepada hamba-Nya mengerjakan ibadah Umrah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dalam bahasa Melayu Umrah dimaksudkan sebagai "Haji Kecil". 

Kewajipan ibadah Umrah itu samalah seperti ibadah haji tetapi agak berlainan dengan ibadah-ibadah yang lainnya dari segi konsep dan kefardhuannya kerana ianya hanya diwajibkan ke atas ummat Islam yang berkemampuan (termasuklah ada peninggalan belanja atau bekalan bagi orang yang ditinggalkan atau tanggungan) sahaja untuk mengunjungi Baitullahil Haram di Makkah. Bagi yang tidak berkemampuan dari segi perbelanjaan, kesihatan tubuh badan dan keselamatan dalam perjalanan, maka tidaklah diwajibkan untuk melakukannya. Firman Allah:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ
(Surah Al-'Imran: 97)

Mafhumnya:
"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk."


Dengan yang demikian pekerjaan ibadah Haji mahu pun Umrah kali ke-2 dan seterusnya hukumnya adalah 'sunat'. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW di mana Rasulullah SAW menjawab pertanyaan Al-Hakra' bin Abbas:


الْحَجُّ مَرَّةً فَمَنْ زَادَ فَتَطَوُّعٌ
Mafhumnya:
“Kewajiban haji itu hanya sekali, barangsiapa menunaikannya lebih dari sekali maka dia telah tathawwu’ (melakukan amalan sunnah).” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan yang lainnya, sohih sebagaimana disebutkan dalam Al-Irwa’)


Kali ke-2 Umrah dan berikutnya akan menghapuskan dosa, sebagaimana hadis Rasulullah Sallahu'alaihi Wa aalihi Wasohbihi Wasallam: 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: اَلْعُمْرَةُ إِلَى اَلْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا, وَالْحَجُّ اَلْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا اَلْجَنَّةَ

(مُتَّفَقٌ عَلَيْه)
   Mafhumnya
“Dari Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: “Umrah ke umrah menghapus dosa antara keduanya, dan tidak ada pahala bagi haji mabrur kecuali syurga.” (Muttafaqun Alaih).



Anas رضي الله عنه   berkata : Rasulullah صلى الله عليه وسلم  mengerjakan  ibadah Haji sekali dan  'Umrah empat kali:
1.`Umrah dalam Bulan Zulqaidah 
2.`Umrah Hudaibiyah .
3 .`Umrah yang dikerjakan bersama ibadah haji (Haji Qiran) sebagai Haji Wada'.

4.`Umrah dari Ji`raanah (Jakronah) ketika membahagikan harta rampasan perang Hunain. 


Kepada teman-teman yang akan mengerjakan Umrah, marilah kita berusaha semoga Ibadah Umrah yang akan dikerjakan akan diterima oleh AIlah SWT dengan ibadah 'mabrur'. Samalah juga peringkat ibadah Umrah sepertimana ibadah Haji sebagaimana berikut:

PertamaHaji Mardud -  Haji yang tidak diterima olah Allah SWT lantaran kerana kekurangan syarat-syarat dan rukunnya atau sebab-sebab yang lain yang menyebabkan hajinya tidak diterima atau ditolak oleh Allah SWT. (Kalau umrah namanya 'Umrah Mardud' iaitu umrah yang tidak diterima oleh Allah SWT);

KeduaHaji Maqbul - Haji yang sah dan diterima oleh Allah SWT dan orang yang mengerjakan haji maqbul ini dianggap sebagai telah menunaikan perintah Allah dan telah menyempurnakan Rukun Islam yang ke lima tanpa diberi ganjaran pahala.  (Kalau umrah namanya 'Umrah Maqbul' tanpa ganjaran pahala); 

Ketiga Haji Makhsus - Ibadah haji yang dikerjakan oleh orang-orang  yang  tertentu yang menyempurnakan segala syarat dan rukunnya, ia bukan sahaja sekadar dianggap sah dan diterima oleh Allah SWT tetapi diampunkan segala dosanya. (Kalau umrah namanya 'Umrah Makhsus').  Haji atau Umrah ini termasuk ke dalam apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Ibnu Majah, An-Nasai dan Ahmad daripada Abu Hurairah yang bermaksud:
”Sesiapa yang menunaikan ibadah Haji (atau umrah), tidak ia melakukan keburukan dan kekejian, maka kembalilah ia seperti hari yang dilahirkan oleh ibunya”. 

KeempatHaji Mabrur -  Inilah tingkatan haji yang paling tinggi dan istimewa, tidak semua boleh mendapatkannya. Haji ini bukan sahaja sekadar dianggap menunaikan kewajipan, tetapi selain daripada diampunkan segala dosanya, ia juga akan dimasukkan ke dalam syurga. (Kalau umrah namanya 'Umrah Mabrur').   Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani daripada Abdullah b. Abas, dan juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

والْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
 Mafhumnya Haji Yang Mabrur itu, tidak ada balasan baginya melainkan Syurga ”. Oleh itu Umrah yang mabrur balasannya adalah Syurga.


Sebelum atau sesudah mengerjakan haji atau umrah marilah Menziarahi Maqam Rasulullah S.A.W di Madinah. Dibawa oleh As-Suyuthi  di dalam kitab Dzail Al-Ahadits Al-Maudhu’ah no. 119, Ibnu Taimiyah & An-Nawawi r.a berkata: ‘Sesungguhnya haditsnya maudhu’ & disepakati oleh Al-Imam Asy-Syaukani.” (Lihat Silsilah Adh-Dha’ifah, 1/120), Nabi SAW bersabda:

مَنْ زَارَنِي بَعْدَ مَوْتِي، فَكَأَنَّمَا زَارَنِي فِي حَيَاتِي

Mafhumnya: “Barangsiapa yang berziarah kepadaku setelah matiku maka dia seolah-olah menziarahiku semasa hidupku.”


Lantaran itu, TEMAN-TEMAN (setiap mukmin) yang akan ke tanah suci Makkah dan Madinah perlulah mendalami setiap ibadah yang hendak dikerjakan supaya pemergian ke tanah suci bukanlah untuk suka-suka, menunjuk-nunjuk mampu pergi kerana banyak wang atau sambil-sambil transit ke negara-negara orang sambil melihat itu dan ini.... Pastikan bahawa yang paling penting ialah bagaimana niatnya yang betul, niat umrahnya yang betul dan jelas, setiap pekerjaan tawafnya yang sah sebelum bersaie, perkara-perkara yang perlu dijaga dan difahami semasa di dalam ihram serta tata-kelakukan sepanjang di tanah suci. Oleh yang demikian sebelum berangkat kenalah berkursus dan menimba ilmu sebanyak mungkin, pergi secara berlapang dada dengan penuh harapan akan menggunakan ilmu yang telah dipelajari. 

Berbagai-bagai kategori jemaah di masa lalu, ada orang yang bertahun-tahun berkursus baru pergi ke tanah suci, ada juga yang baru berkursus terus pergi ke tanah suci malahan ada yang tidak mengikuti sebarang kursus terus ikut-ikut ke tanah suci pun ada. Bagi yang suka mencari ilmu, setiap kali berkursus namun masih ada lagi yang kurang. Oleh itu ayuhlah kita mencari ilmu mengenai ibadah haji atau umrah walaupun kita masih belum ada kemampuan untuk mengerjakannya, mudah-mudahan kita diberi hidayah oleh Allah SWT untuk melakukannya sebelum nyawa diambil oleh Malaikat Izrail a.s. Sememangnya susah untuk kita ke arah itu (mencari ilmu), tapi percayalah kalau itulah merupakan rutin kehidupan kita, Insyaallah di mana kita berada pasti kita akan mencarinya (ilmu) dan memerlukannya. Iblis Laknatullah sememangnya mahukan setiap anak Adam supaya tidak suka kepada perkara-perkara yang mendapat keredhaan Allah SWT tetapi dia mahukan kita supaya bersamanya untuk menghuni 'neraka' Allah yang penuh azab yang tidak terperi sakitnya.

Oleh itu seboleh-bolehnya sebelum pergi hendaklah ada ilmu (tak kiralah sama ada untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah) walaupun sedikit supaya setiap perbuatan ibadah yang akan dilakukan nanti mampu dinilai oleh diri sendiri dan pergi ke Madinah mahu pun ke Makkah tidaklah sia-sia. Yang paling ditakuti ialah panggilan ke tanah suci itu adalah panggilan dari Iblis Laknatullah kerana akan hanya mengutamakan kerja-kerja untuk membeli-belah disertai dengan banyak kelalaiannya daripada mengerjakan ibadah yang sepatutnya dilakukan.

Mudah-mudahan pemergian ke Makkah adalah panggilan (seruan) Nabi Ibrahim a.s dan lambaian Ka'bah kerana Allah SWT. Pulang dengan umrah yang mabrur, Insyaallah.


Allah SWT telah menyeru kepada Nabi Ibrahim sebagaimana Firman-Nya :
وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ
(Surah Al-Haj: Ayat 26)
Mafhumnya:

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji (dan Umrah), nescaya mereka akan datang (ke Baitullah) kepada mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta (kenderaan) yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
  

Wallahu a'lam.




2 comments:

  1. assalamu'alaikum Kang

    Kalo ada umrah gratis untuk saya ya Kang, saya tunggu kabarnya, mudah2an barakah, saya rindu ka'bah kang :D

    ReplyDelete
  2. Semoga dapat umrah yang mabrur.. Rindu nak ke sana kembali. Semoga dijemput Allah kembali kesana semula. InsyaAllah..

    ReplyDelete