Ibubapa Berhak Terhadap Sebahagian Harta Anak

Pernah seorang anak datang mengadu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

“Wahai Rasulullah, saya memiliki harta dan anak akan tetapi ayahku ingin menghabiskan harta aku.” Rasulullah menjawab: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu.”[1]







gambar hiasan - tanah, kenderaan, wang, dsb. adalah harta dunia




Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Tidak dihalalkan bagi seseorang memberikan satu pemberian kemudian memintanya balik kecuali seorang ayah terhadap apa yang diberikannya kepada anaknya.[2]


Kedua-dua hadis di atas dapat dikupas dari dua sudut:


Sudut Pertama :
Ia adalah dari sudut keutamaan dimana ia menunjukkan betapa besar hak ibubapa ke atas kita sehingga harta kita dan apa yang pernah mereka berikan kepada kita boleh menjadi milik mereka. Sekalipun kedua-dua hadis di atas hanya merujuk kepada seorang ayah, akan tetapi seorang ibu termasuk sama. Ini kerana hak seorang ibu terhadap anaknya adalah lebih besar sebagaimana yang dijelaskan dalam beberapa hadis sebelum ini.


Sudut Kedua :
Ia adalah dari sudut hukum fiqh, maka hukum yang terkandung dalam kedua-dua hadis bukanlah secara mutlak tetapi dibatasi dengan kaedah bahawa ketaatan hanya dalam perkara yang ma’ruf, bukan maksiat. Sebelum ini telah dikemukakan dua buah hadis:
Menjadi kewajipan seorang muslim untuk mendengar dan taat, perkara yang disukai mahupun yang dibenci selagi mana ia tidak melibatkan maksiat. Maka jika disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak perlu mendengar dan tidak perlu mentaatinya.[3]
Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.[4]


Di samping itu terhadap sebuah hadis lain daripada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anhdimana beliau menerangkan:
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menghantar satu ekspedisi pejuang dan melantik seorang lelaki
dari kalangan Ansar sebagai pemimpinnya. Baginda memerintahkan mereka (para pejuang) untuk mentaati pemimpin tersebut. Dalam ekspedisi itu, pemimpin tersebut menjadi marah kepada mereka
(para pejuangnya) dan berkata:
“Tidakkah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan kalian mentaati aku?”
Mereka menjawab: “Ya.”
Dengan itu dia berkata: “Aku memerintahkan kalian memungut kayu api, nyalakan api dan lompat ke dalamnya!”
Maka mereka memungut kayu api dan menyalakan api. Akan tetapi tatkala mereka ingin melompat
ke dalam, mereka melihat kepada satu sama lain dan sebahagian daripada mereka berkata:
“Sesungguhnya kita mengikuti Nabi shallallahu 'alaihi wasallam (agama Islam) tidak lain untuk menyelamatkan diri daripada api, apakah patut kita memasukinya sekarang?”
Sementara itu api padam dan kemarahan pemimpin mereka juga menjadi reda. Maka setelah itu
mereka menceritakan apa yang berlaku kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda menjawab: “Seandainya kalian melompat ke dalamnya pasti kalian tidak akan keluar selama-lamanya. Sesungguhnya ketaatan tidak lain hanya dalam perkara ma’ruf (kebaikan yang selari dengan syari‘at Islam).”[5]


Oleh itu apabila dikatakan: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu”, maka ia bukanlah keseluruhan harta sehingga meninggalkan kita dalam keadaan muflis dan merana. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah, ibubapa memiliki kedudukan yang amat besar terhadap kita sehingga mereka berhak kepada sebahagian daripada harta kita. Betapa tidak, bukankah ibubapa juga, ketika kita masih kecil, telah mengorbankan sebahagian besar harta mereka untuk membesar dan mendidik kita? Justeru berdasarkan hadis ini, kita tidak boleh bersikap kedekut terhadap ibubapa. Hendaklah secara rela kita berkongsi sebahagian harta bersama ibubapa dan memberikan lebih dari itu jika mereka berhajat kepadanya.
Perkara ini turut disentuh oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan firman-Nya:
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad):
“Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)?”
Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah
kepada kedua ibubapa…” [al-Baqarah 2:215]


Dalam sebuah hadisnya, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
Seorang anak belum membalas budi ayahnya sehingga dia mendapati ayahnya seorang budak hamba, lalu dia membelinya dan memerdekakannya.[6]


Demikian juga berkenaan hak ibubapa untuk mengambil semula pemberian mereka kepada kita. Pengambilan semula adalah dengan syarat ia tidak menjadikan kita dalam keadaan yang sukar. Sebagai contoh, jika ibubapa telah memberi duit pendahuluan kepada kita untuk membeli kereta, mereka hanya boleh meminta balik duit tersebut jika kita belum membeli kereta. Jika kita sudah membeli kereta, ibubapa tidak boleh meminta balik kerana ini akan membebankan kita.


Sebelum beralih ke hadis seterusnya, ingin ditekankan bahawa memberi harta atau wang ringgit kepada ibubapa hanyalah merupakan sebahagian daripada tuntutan berbuat baik kepada ibubapa. Ia tidak mewakili keseluruhan daripada tuntutan tersebut. Mungkin ada sebahagian daripada kita yang merasa cukup untuk berbuat baik kepada ibubapa sekadar mengirim elaun bulanan RM100 atau RM200 atau berapa pun ke kampung. Namun tidak diendahkan langsung hal ehwal ibu-bapa. Malah jika diketahui ibu-bapanya amat menghajati anak-anaknya, hajat tersebut ditutupi dengan cara menambah elaun bulanan.
Ketahuilah bahawa bagi kebanyakan ibu-bapa, perhatian daripada kita sebagai anak-anak lebih mereka hargai daripada wang ringgit. Sering menalifon, menghantar surat dan balik ke kampung lebih dihargai dan diredhai oleh ibubapa daripada “RM” sekian-sekian yang dihantar setiap bulan.



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 2291 (Kitab al-Tijarah, Bab apa bahagian ayah daripada harta anaknya)
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 1299 (Kitab al-Buyu’, Bab berkenaan mengambil balik apa yang telah diberikan)
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 7144 (Kitab al-Ahkam, Bab mendengar dan taat kepada pemerintah selagi mana ia bukan merupakan maksiat).
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 15 (Kitab al-Iman, Bab mencintai Rasulullah adalah sebahagian daripada iman)
[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 7145 (Kitab al-Ahkam, Bab mendengar dan taat kepada pemerintah selagi mana ia bukan merupakan maksiat).
[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 3659 (Kitab al-Adab, Bab berbuat baik kepada ibubapa).

No comments:

Post a Comment