Ibulah Lebih Utama Berbanding Ayah

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:

“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[1]

Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallammeminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.

Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?

Jahimah menjawab: “Ya.

Lalu Rasulullah bersabda:

“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.[2]

Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti melalui hadis di atas. Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur’an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya.[3]

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman yang maksudnya:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [al-Ahqaf 46:15]

Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah:

1. Ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: …ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah… [al-Ahqaf 46:15]

2. Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan:…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan…

3. Kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: …dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.

Kesusahan ini diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan ‘Isa yangmaksudnya:

(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” [Maryam 19:23]

Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi Burdah radhiallahu 'anh pernah melihat Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhumadan seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Ka’bah.

Lelaki tersebut sedang mendukung ibunya lalu mengeluh: Saya baginya bagaikan tunggangan yang hina.

Lalu dia bertanya: Wahai Ibn ‘Umar! Apakah sudah aku balas budinya?

Ibn ‘Umar menjawab: Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni ketika ibunya sedang melahirkannya).[4]

4. Setelah melahirkan, ibu benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya anaknya tidak

sihat atau hilang sekejap daripada perhatiannya, nescaya dia menjadi bimbang. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu akan teramat berdukacita sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya dikembalikan kepadanya.

Kenalilah perhatian seorang ibu terhadap anaknya berdasarkan kisah berikut daripada al-Qur’an, ketika Allah Subhanahu wa Ta‘alamemerintah ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan dibunuh oleh Fir’aun, maksudnya:

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan)

lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pulaberdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada Rasul-rasul Kami.

Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh

dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya

adalah golongan yang bersalah.

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir’aun:

“(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya;

mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak.”

Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

Dan berkatalah dia kepada kakak Musa:

“Pergilah cari khabar beritanya.” (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh

sedang orang ramai tidak menyedarinya.

Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata (kepada isteri Fir’aun):

“Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”

Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya

dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui

(yang demikian itu). [Maksud surah al-Qasas 28:7-13]

5. Sekalipun dengan segala pengorbanan ibu daripada saat mengandung hinggalah kepada membesarkan,

seorang anak lazimnya akan lebih cenderung untuk meremehkan ibunya berbanding ayahnya. Faktor penyebab adalah sama ketika menjelaskan bab sebelum ini berkenaan mengapa ibu dikhususkan daripada ayah dalam larangan menderhaka. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian anak-anak tidak menghormati ibu mereka dan justeru melecehkan tuntutan berbuat baik kepadanya.

Lima sebab di atas, paling kurang, menjelaskan mengapa Allah dan Rasul-Nya mengkhususkan seorang ibu di atas seorang ayah. Malah hadis yang asal dalam perbincangan ini memberi hak tiga kali ganda lebih besar kepada seorang ibu berbanding seorang ayah. Oleh itu dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa, hendaklah kita memberi perhatian dan keutamaan kepada ibu.

Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma, Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?

Ibn ‘Abbas bertanya: “Apakah ibu kamu masih hidup?

Dia menjawab: “Tidak.”

Ibn ‘Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin.

Atha’ bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup?

Ibn ‘Abbas menjawab: “Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada AllahSubhanahu wa Ta'ala melainkan berbakti kepada ibu.[5]



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5971 (Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).

[2] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalamShahih Sunan al-Nasai – hadis no: 3104 (Kitab al-Jihad, Bab kelonggaran daripada berperang bagi orang yang memiliki ibu).

[3] Sayang sekali kebanyakan wanita sekarang ini tidak lagi memandang mulia terhadap peranan mereka untuk melahir dan membesarkan anak. Apa yang dipandang mulia oleh Allah kini dipandang hina oleh manusia. Semua ini berlaku kerana manusia kini mengejar kemuliaan mengikut ukuran mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa apa yang dianggap mulia oleh sebahagian manusia dianggap hina oleh manusia yang lain. Apa yang dianggap mulia pada masa kini akan menjadi hina pada masa akan datang. Ringkasnya, kemuliaan mengikut ukuran manusia sentiasa bersifat nisbi manakala kemuliaan mengikut ukuran Allah sentiasa bersifat hakiki.

[4] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad – hadis no: 9.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 4 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 2799.

Keredhoan AllahTerletak pada Keredhoan Ibu-Bapa

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

Keredhoan Allah terletak pada keredhoan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.[1]

Hadis ini membenarkan apa yang disebut sebelum ini, bahawa hubungan seorang anak dengan ibubapanya memiliki kaitan dengan hubungannya kepada Allah. Jika seorang anak berbuat baik kepada kedua ibubapanya sehingga mereka redha kepadanya, maka Allah juga redha kepada anak tersebut. Akan tetapi jika seorang anak tidak berbuat baik sehingga menimbulkan kemurkaan ibubapanya, maka Allah juga murka kepadanya.

Walaubagaimanapun hendaklah diperhatikan bahawa apa yang meredhakan ibubapa tidak mengakibatkan kemurkaan Allah. Maksud saya, jangan melakukan sesuatu yang merupakan maksiat kepada Allah dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallammengingatkan yang maksudnya:

Menjadi kewajipan seorang muslim untuk mendengar dan taat dalam perkara yang disukai mahupun yang dibenci selagi mana ia tidak melibatkan maksiat. Maka jika disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak perlu mendengar dan tidak perlu mentaatinya.[2]

Di samping tidak boleh berbuat baik kepada ibubapa dalam hal-hal yang merupakan maksiat kepada Allah, kita juga tidak boleh berbuat baik kepada ibubapa dalam hal-hal yang merupakan maksiat kepada Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam. Baginda berpesan yang maksudnya:

Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.[3]

Cinta kepada Rasulullah, sebagaimana yang dimaksudkan oleh hadis di atas, bukanlah sekadar perasaan di hati tetapi adalah dengan pembuktian praktikal, seperti mentaati perintah larangan baginda, mengikuti sunnahnya dan membenci bid‘ah yang merosak dan mencemari sunnah tersebut.

Oleh itu tuntutan berbuat baik kepada ibubapa haruslah selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, iaitu syari‘at Islam. Justeru seandainya ibubapa menyuruh kita membelikan mereka minuman keras atau membantunya membuat acara kemungkaran seperti pesta (party) di rumah, kita tidak perlu mentaatinya. Jika kita mendapati ibubapa cenderung kepada sesuatu yang menyelisihi syari‘at Islam, hendaklah:

1. Terlebih dahulu memastikan bahawa ia benar-benar menyelisihi syari‘at Islam. Jika perkara tersebut merupakan sesuatu yang diperbincangkan oleh para ilmuan, maka hendaklah kita mengambil sikap berlapang dada. Oleh itu, sebagai contoh, jika kita cenderung kepada hukum larangan mendengar muzik manakala ayah pula gemar mendengar lagu-lagu klasik, maka hendaklah kita bersikap lapang dada. Biarkanlah ayah mendengar lagu-lagu kegemarannya.[4]

2. Jika dipastikan bahawa ia benar-benar menyelisihi syari‘at Islam, maka janganlah ditegur secara kasar dan mendadak. Sebaliknya maafkanlah mereka, pohonkan keampunan Allah kepada mereka[5], kemudian berbincanglah secara hikmah dan lemah lembut. Kemudian jangan diharapkan perubahan secara serta merta, sebaliknya bertawakkallah kepada Allah agar pada satu masa nanti, secara bertahap-tahap, mereka akan berubah.

3. Ikutilah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam perkara ini, iaitu sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka danpohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. [Ali Imran 3:159]

Berdasarkan hadis-hadis yang dikemukakan di atas, dapat dirumuskan bahawa sebelum seseorang itu membuat apa-apa keputusan, hendaklah diperhatikan bahawa keputusan tersebut menepati dua syarat berikut:

1. Ia selari dengan syari‘at Islam.

2. Ia diredhai oleh ibubapanya.

Seandainya wujud pertentangan antara dua syarat tersebut, hendaklah dicari jalan untuk menghilangkan pertentangan tersebut.

Pengajaran lain yang tidak kurang pentingnya daripada hadis di atas, yakni sabda Rasulullah yang bermaksud:“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”, ialah jika kita mengalami kehidupan yang sempit lagi serba tak menjadi, hendaklah diperhatikan hubungan kita dengan ibubapa. Ini kerana seorang anak yang berada di bawah keredhaan ibubapanya, kehidupannya akan menjadi lapang lagi mudah hasil daripada keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘alakepadanya. Sebaliknya seorang anak yang berada di bawah kemurkaan ibubapanya, kehidupannya akan menjadi sempit dan serba tak menjadi, disebabkan kemurkaan Allah kepadanya.



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa)dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 7144 (Kitab al-Ahkam, Bab mendengar dan taat kepada pemerintah selagi mana ia bukan merupakan maksiat).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 15 (Kitab al-Iman, Bab mencintai Rasulullah adalah sebahagian daripada iman).

[4] Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ilmuan tentang hukum muzik. Antara rujukan terkini yang baik untuk dijadikan kajian dan perbandingan adalah:

1. Polemik Seputar Hukum Lagu & Muzik oleh Nashr al-Din al-Albani (edisi terjemahan oleh Abu Umar Basyir daripada judul asal Tahrim Alatit Tharab; Darul Haq, Jakarta, 1999). Ringkasnya al-Albani berpendapat muzik dilarang kecuali dalam beberapa suasana yang terhad seperti majlis perkahwinan. Itupun dengan beberapa alat muzik yang terhad.

2. Fiqih Muzik & Lagu Perspektif al-Qur’an dan as-Sunnah oleh Yusuf al-Qaradhawi (edisi terjemahan oleh Achmad Fulex & Awan Sumarna daripada judul asal Fiqh al-Ghina wa al-Musiqy fi Dhau‘i al-Qur’an wa as-Sunnah; Mujahid Press, Bandung, 2002). Ringkasnya al-Qaradhawi berpendapat muzik adalah harus kecuali apabila ia disalahgunakan ke arah perkara yang merupakan maksiat kepada Allah seperti melalaikan daripada solat pada awal waktu.

[5] Sikap yang pertama adalah memaafkan mereka dan mendoakan keampunan kepada mereka. Ini akan menenangkan hati kita, seterusnya menjadi penggerak untuk kita memahami kenapakah mereka cenderung kepada sesuatu yang menyelisihi syari‘at. Mungkinkah mereka tidak tahu, salah faham, tidak mampu, terlanjur atau memiliki sebab-sebab lain yang tidak kita fahami? Kemudian, dengan sikap memaafkan mereka dan mendoakan keampunan kepada mereka, teguran kita kepada mereka akan lebih bersifat lemah lembut dan hikmah, tidak kasar dan mendadak.