DIA KEKASIH ALLAH

“Malu rasanya menyatakan cinta

Kepada dia kekasih Allah

Kerana dia insan mulia

Sedangkan diriku insan biasa..

Rangkap yang melintasi fikiran tika mengenangkan insan yang amat dirindui, Muhammad S.A.W. menambahkan lagi kerinduan yang sedia ada. Baginda sememangnya pembawa rahmat, penyeri seluruh alam. Firman Allah SWT, mafhumnya:

“Dan Kami tidak mengutuskan engkau melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam”(Al-Anbiya’:107).

Kelahiran yang disambut dengan amat meriah, dirai makhluk di langit dan di bumi, menandakan permulaan rahmat Allah ke atas hamba-hambaNya dan seluruh makhluk bukan sahaja di bumi malah seluruh alam. Begitu juga kesedihan dan kemurungan yang melanda seluruh alam saat kewafatan baginda, kami merinduimu ya Rasulullah.

Mengingati kisah saat-saat menghembuskan nafas terakhir, kerisauan baginda pada kita; yang pada ketika itu belum pun lagi lahir membuktikan sayang baginda pada kita tapi kita bagaimana? Adakah kita cukup mencintai baginda? Adakah kita cukup merindui baginda sebagaimana baginda merindui kita? Dan seandainya kita benar mencintai dan merindui baginda, adakah kata-kata kita selari dengan amal kita seharian? Tepuk dada, tanya iman.

Kisah kelahiran sehingga kewafatan baginda sudah tentu sudah sebati dalam diri kita, insyaAllah. Seandainya tidak, maka berusahalah ke arah itu. Oleh itu, perkara yang lebih utama pada kita adalah untuk mengamalkan segala ilmu yang diperoleh kerana di situlah terletaknya nilaian Allah. Tiada lagi contoh terbaik untuk kita ikuti selain Rasulullah S.A.W. sebagaimana firman Allah SWT, mafhumnya:

“Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah,” (Al-Ahzab:21).

Sudah tentu kitalah golongan yang sentiasa mengharapkan rahmat Allah supaya redhaNya memenuhi kehidupan seharian kita, dan yang menanti kedatangan hari kiamat untuk berjumpa dengan Pencipta yang sering menjadi kerinduan maka sama-samalah kita mencontohi sikap baginda dari segenap aspek- moga amalan-amalan kita diterima Allah.


Beberapa hari lagi kita akan menyambut hari kelahiran kekasih idaman ini, sudah tentu persediaan yang cukup meriah bukan? Sudah tentu lebih meriah berbanding sambutan insan-insan kesayangan yang berada di sekeliling kita. Banyakkanlah selawat sebagai tanda ingatan kepada baginda, Moga melalui selawat ini, Allah sampaikan rindu kita pada baginda. Seandainya kita menyayangi seseorang, sudah tentu kita akan selalu menghubungi, mengingati kenangan-kenangan bersama mereka dan begitu juga sayang kita pada Rasulullah. Lazimilah selawat dan dalamilah sirah supaya kita terus “berhubung” dengan baginda. Peribadi, kata-kata, perbuatan, diam dan nasihat baginda~moga menjadi igauan kita..

Kemaafan yang mengharukan

Sebagaimana yang kita tahu, dalam Perang Uhud Rasulullah telah cedera teruk sehingga anak panah menerobos pipi baginda lalu mengalirkan darah dengan banyak. Namun baginda tidak pernah berdendam mahupun memohon supaya Allah membalas perbuatan kaum musyrikin serta-merta tetapi sebaliknya baginda bersabda, “Ya Allah, ampunilah kaumku kerana mereka tidak tahu”. Pemaafnya baginda, lembutnya baginda, kita bagaimana?

Penyayang dan disayangi

Kita mengetahui bahawa bapa baginda meninggal dua ketika usia baginda 2 bulan dalam kandungan dan ibu baginda pula meninggal dunia ketika baginda berusia 6 tahun. Baginda menjadi anak yatim dalam usia yang masih kecil tetapi baginda adalah insan yang amat menyayangi anak yatim walaupun tidak sempat merasai kasih sayang seorang bapa dan hanya merasai kasih sayang seorang ibu untuk beberapa ketika. Kisah mengenai kasih sayang baginda sesama ahli keluarga juga pasti sudah biasa kita dengar. Daripada ‘Aisyah rah:

“Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih mirip dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dalam bicara maupun duduk daripada Fatimah.” ‘Aisyah berkata lagi, “Biasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bila melihat Fathimah datang, beliau mengucapkan selamat datang padanya, lalu berdiri menyambutnya dan menciumnya, kemudian beliau menggamit tangannya dan membimbingnya hingga beliau dudukkan Fathimah di tempat duduk beliau. Demikian pula jika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam datang kepada Fathimah, maka Fathimah mengucapkan selamat datang pada beliau, kemudian berdiri menyambutnya, menggamit tangannya, lalu mencium beliau. Indahnya kasih sayang baginda, menjadi impian tiap anak di dunia maka contohilah baginda, moga kita turut menjadi ibu bapa idaman anak-anak kita.

Gurauan yang dirindui

Sebuah riwayat menceritakan gurauan antara Saidina Ali dan Rasulullah saw. Sesudah selesai makan, Saidina Ali meletakkan kesemua sisa biji kurma ke arah Rasulullah (seolah-olah kesemua itu sisa rasulullah) kemudian berkata, “Ya Rasulullah alangkah banyaknya Rasulullah makan,” dan Rasulullah membalas mengatakan bahawa siapakah yang lebih banyak makannya, orang yang meninggalkan biji atau yang turut menelan biji-biji kurma dan semua sahabat terhibur dengan gurauan baginda. Lihat sahaja gurauan baginda, bukanlah suatu pembohongan dan inilah yang perlu kita contohi supaya kita tidak melazimi pembohongan walaupun sekadar gurauan~insyaAllah.

Malu yang diimpikan

Seperti yang kita tahu melalui sirah, baginda adalah insan yang paling pemalu. Ketika Allah memerintahkan umat Islam agar berkiblatkan Baitul Maqdis, baginda akur walaupun baginda lebih suka seandainya kiblat diarahkan ke Baitul Haram tetapi Rasulullah tidak pernah meminta kepada Allah supaya mengubah kiblat. Baginda hanya menengadah menghadap langit tanpa berkata apa-apa sedangkan baginda boleh dan mampu berbuat demikian tetapi kerana patuh dan taat, perasaan malu itu hadir dalam diri. Kemudian Allah berfirman, “Kami melihat wajahmu Rasulullah sering menengadah ke langit, maka akan kami palingkan engkau ke kiblat yang engkau senangi,”(Al-Baqarah:144). Lihatlah betapa pemalunya baginda tetapi bagaimana kita. Adakah kita malu untuk mengeluh atas ujian yang Allah timpakan? Malulah, malulah kerana inilah ukuran ketaatan dan kepatuhan kita padaNya dan begitu juga dalam bermuamalah sesama manusia.

Kejujuran yang telus

Rasulullah sememangnya terkenal dengan sifat baginda yang jujur, bukan sahaja di kalangan Muslim malah di kalangan kafir Quraisy juga. Hal ini dapat dilihat dalam peristiwa meletakkan kembali Hajarul Aswad ke tempatnya selepas peristiwa banjir di Mekah. Kejujuran baginda dalam berniaga juga membuatkan perniagaan yang diusahakan mendapat keuntungan kerana baginda menjaga hak-hak pembeli dan jujur dalam timbangan dan sifat ini jugalah yang menyentuh hati Saidatina Khadijah untuk diperisterikan oleh baginda. Kejujuran juga merupakan aspek yang amat dipentingkan dalam Islam dan ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah haditnya yang diriwayatkan dari syahabat Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, mafhumnya:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah dia berkata baik atau hendaknya dia diam (bila tidak bisa berkata baik).” (HR. Al Bukhari no. 6018 dan Muslim no. 48).

Maka, bertaqwalah kepada Allah dengan bersikap jujur dan berdamping bersama orang-orang yang jujur.

Melihat kepada beberapa sifat di atas, jelas bagindalah kekasih idaman kita, kekasih yang dapat menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, kekasih yang dapat menggembirakan hati dan menambah iman kita, namun adakah kita bisa menatap wajah mahupun mendakap tubuh baginda seandainya kita masih lagi tidak mahu mendengar dan mengikut tunjuk ajar baginda? Moga Allah pertemukan kita dengan kekasih yang selama ini dirindui di syurga kelak. Akhirnya, sama-samalah kita amati pesanan baginda dalam khutbah yang terakhir, moga kita sentiasa menjadi hamba kesayangan Allah lantas menjadi umat kesayangan kekasih idaman. Berikut adalah mafhumnya:

“Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.”

“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”

Ya Allah, sampaikanlah rindu kami pada kekasihMu, jadikanlah kami teman buat kekasihMu yang agung itu, dan dekatkanlah kami dengan amal yang mendekatkan kami dengan kasihMu, Amin.

Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment